LAKUKAN PERUBAHAN DIRI DAN KEBAIKAN SECARA ISTIQAMAH KERANA IANYA ADALAH AMALAN YANG DICINTAI ALLAH SWT

 

Jika dilihat pada keadaan sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, ramai umat Islam berusaha untuk kembali kepada fitrah asal mereka dan berusaha untuk memperbetulkan diri sendiri agar diterima di sisi Allah SWT. Namun, tidak semua mampu istiqamah dalam melakukan hal tersebut apabila berakhirnya Ramadan. Sesungguhnya antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada kita ialah dengan berpeluang melalui Ramadan sebulan penuh dan melaksanakan ibadah. Nikmat ini haruslah disyukuri dengan erti kata sebenarnya iaitu tetap beristiqamah (konsisten) dalam menunaikan ibadah, melaksanakan ketaatan dan menjauhi segala tegahanNya. Allah SWT berfirman:

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan." (QS Hud: 112).

Namun, apa yang perlu kita ketahui bahawa amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan walaupun sedikit tetapi dikerjakan secara istiqamah atau berterusan. Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

"Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian berasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit." (HR Bukhari).

Dalam situasi kehidupan yang penuh mencabar, antara perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan ialah beristiqamah dalam mengerjakan ibadah kerana pelbagai sebab dan alasan. Ada di antara alasan yang diberikan adalah pengaruh kuat dari sekeliling dan ada juga yang diperlekehkan dengan anggapan mahu “acah-acah alim”. Kita tidak seharusnya mengalah dengan cabaran seperti itu dan perlu menguatkan iman kita jika ingin kekal berubah dalam keredhaan Allah SWT. 

Bagi mendapatkan istiqamah dalam beribadah, ia hendaklah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana paksaan. Ibadah juga tidak hanya dilaksanakan kerana musim dan ganjaran tertentu, apatah lagi bagi mendapatkan pujian manusia.  Istiqamah juga boleh diperoleh melalui persekitaran yang dapat mendorong kita melaksanakan sesuatu amal ibadah. Ia termasuklah rakan dan ahli keluarga yang saling mengingatkan serta kediaman, tempat kerja atau masjid dan surau yang selesa untuk melaksanakan ibadah. 

Ingatlah, Mukmin yang berjaya beristiqamah dalam melaksanakan ibadah telah merasai kemanisan iman sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis, daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW, baginda bersabda: 

"Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka." (HR Bukhari).

Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah dalam beribadah kerana ianya merupakan kunci utama kepada kejayaan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments