TAWARAN ISTIMEWA SELEPAS RAMADAN!!! PUASA SUNAT ENAM SYAWAL - GANJARAN PAHALA YANG BESAR BAGI SESIAPA YANG MENUNAIKANNYA

 

Bulan Ramadan sudah pun melabuhkan tirainya. Kini, Syawal pula menjelma. Memang tidak dinafikan pasti ada di antara kita yang merasa sedih apabila Ramadan berlalu pergi, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh terus melakukan kebaikan di bulan Syawal. 

Salah satu ibadah yang biasa diteruskan selepas bulan Ramadan memasuki Syawal adalah berpuasa enam. Apa fadhilat dan kelebihan sekiranya kita berpuasa enam? Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (HR Muslim). 

Hal ini telah dihuraikan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim yang telah dinyatakan tadi. Ganjaran berpuasa setahun adalah ganjaran yang luar biasa, apatah lagi dari sudut kemampuan umat akhir zaman. Selain itu, antara kelebihan lain dalam berpuasa enam ini adalah ia sebagai pelengkap kepada amalan fardhu. Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang. 

Antara kelebihan lain dalam berpuasa enam ini juga adalah kita dapat menguatkan lagi hubungan dengan Allah SWT selain akan diganjari dengan syurga Allah SWT. Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana FirmanNya: 

"Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).” (QS Az - Zumar: 73). 

Hakikatnya, melakukan ibadah puasa ini bukan hanya tertakluk di bulan Ramadan sahaja. Bahkan ibadah ini kita boleh lakukan di hari-hari lain sebagai puasa sunat dan ia menjadi bukti  bahawa kita ini mahu lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT selain mengharapkan ganjaran pahala. Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda: 

"...Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan". (Muttafaqun Alaih). 

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang hanya beribadah pada waktu tertentu sahaja dan apabila keluar daripada waktu tersebut kita mula mengikut hawa nafsu dan menjadi syaitan laknatullah sebagai ikutan. 

Sumber: Portal MyWilayah.com (6 Mei 2021).


Comments