AWAS, KESESATAN TERBESAR ISLAM LIBERAL!!! MEMPERJUANGKAN HAK ASASI DAN KEBEBASAN INDIVIDU ATAS PRINSIP KESERATAAN DAN KESAKSAMAAN BARAT YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH ISLAM

 

Pada peringkat asasnya, pemikiran liberalisme memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep keserataan dan kesaksamaan.

Gerakan Islam liberal pula muncul kononnya untuk menjadi neraca bagi menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam. Mereka menganggap diskusi berkenaan Islam terlalu dipenuhi dan didominasi subjek fiqh iaitu yang lebih memberi penekanan pada soal kewajipan dan halal haram sahaja sehingga mengecilkan ruang bagi perbincangan tentang hak asasi dan kebebasan.

Sebagai sebuah gerakan pembaharuan pemikiran keagamaan, Islam liberal mempunyai dua musuh. Pertama golongan pemikiran konservatif agama dan kedua adalah golongan fundamentalisme. Konservatif agama dalam erti kata suatu pemahaman sempit terhadap agama yang selalu skeptikal dan menolak sebarang pembaharuan. Manakala fundamentalisme pula ialah satu sikap pemaksaan pandangan terhadap kelompok lain dengan cara kekerasan.

Menurut pandangan golongan liberal, kedua-dua aliran konservatif dan fundamentalis ini merupakan ‘antitesis’ kepada gerakan Islam liberal yang amat menitikberatkan kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, hak asasi manusia, kebebasan dan lain-lain nilai yang menjadi rukun kepada aliran liberal.

Golongan lslam liberal turut mendakwa bahawa gerakan mereka ini adalah untuk membebaskan umat Islam daripada dibelenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama. Sehingga kini mereka tidak berputus asa untuk melontarkan idea-idea baru kononnya untuk ‘memajukan’ pemikiran dan gaya hidup orang Islam, namun mereka lupa bahawa mereka sebenarnya telah melampaui batas-batas syariat yang digariskan oleh Islam.

Sumber: al-Bayan , Siri 12 – SS Dato’ Dr. Zulkifli al-Bakri


Comments