BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN SESAT!!! KEBANYAKAN AJARAN SESAT BERTOPENGKAN ISLAM TETAPI AMALANNYA BERCANGGAH DENGAN AKIDAH, SYARIAT DAN AKHLAK ISLAM YANG BENAR
Sejarah manusia dengan penyelewengan dan kesesatan ibarat isi dengan kuku yang terus menerus berlaku dan wujud sepanjang perjalanan kehidupan manusia samada berpunca dari hawa nafsu, kecetekan ilmu, hasutan syaitan, mencari kemahsyuran, harta, wanita dan lain-lain. Hakikatnya ramai yang mengaku berada di atas paksi Islam yang sebenar, namun terpesong dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar sama ada dari segi akidah, syariat dan juga akhlak.
Terdapat beberapa ciri yang diamalkan oleh kebanyakan kumpulan ajaran sesat dalam merekrut anggotanya sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga keselamatan ketua dan ajaran yang dipegang.
Ciri pertama, ajaran mesti dirahsiakan. Setiap ahli mesti merahsiakan dan tidak dibenarkan sama sekali mendedahkan apa-apa ajaran yang dibawa oleh kumpulannya kepada orang lain kecuali orang tersebut dibawa oleh pengikutnya berjumpa dengan ketuanya terlebih dahulu. Selain memastikan keselamatan ketuanya, ianya juga bertujuan kononnya ajaran mereka itu terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk masyarakat awam.
Ciri kedua, pembentukan kasih sayang dalam menyelesaikan masalah pengikutnya. Jika diteliti latar belakang pengikut ajaran sesat, kebanyakan mereka mempunyai masalah seperti kesempitan kewangan, masalah rumah tangga, masalah anak yang terlibat dengan gejala tidak sihat, masalah di tempat kerja dan sebagainya. Hal ini diambil kesempatan oleh ketua ajaran sesat untuk memupuk dan membentuk nilai-nilai kasih sayang antara satu sama lain, cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka di samping menerapkan fahaman ajaran sesat tersebut sehingga diyakini oleh pengikutnya.
Ciri ketiga, penjelmaan Tuhan dalam diri. Kebanyakan ketua ajaran sesat mengakui dirinya sebagai Tuhan yang menjadikan dirinya sebagai Tuhan dan membuat penilaian untuk mengatakan benar setiap apa yang ada pada Tuhan.
Ciri keempat, keistimewaan dan kelebihan melampaui batas. Pada tahap ini ilmu-ilmu ‘hitam’ digunakan bagi menguatkan kepercayaan pengikut ajaran tersebut bahawa ketuanya mempunyai kelebihan setaraf Tuhan, pengampunan dosa terletak pada ketuanya dan adalah suatu yang dianggap sesat bagi siapa yang tidak menganut ajarannya.
Fenomena ini memperlihatkan ajaran sesat bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Dengan cabaran dan pelbagai pengaruh dalam mahupun luar yang berunsur negatif sekiranya tidak dicegah dari peringkat awal akan mendatangkan keburukan yang amat dahsyat bukan sahaja dalam diri seseorang individu (yang boleh merosak akidah), malah turut mampu merosakkan keharmonian kehidupan sesebuah masyarakat.
Sumber: Proceeding of the International Conference on Islam, Development and Social Harmony in Southeast Asia, 2017
Comments
Post a Comment