BERHATI-HATILAH!!! JANGAN BERSIKAP BAKHIL KERANA MEMILIH PAKEJ IBADAH KORBAN TERMURAH AGAR TIDAK TERTIPU DENGAN PAKEJ IBADAH KORBAN PALSU YANG SEMAKIN BERLELUASA
Tidak dinafikan bahawa menjelangnya perayaan Aidil Adha yang semakin mendekat ini, ramai di antara umat Islam yang mula kalut untuk mencari pakej-pakej ibadah korban yang disediakan oleh sesetengah pihak. Namun, ada juga sebahagian daripada kita masih lagi dengan sikap memilih-milih dan hanya mahu pakej yang murah walaupun ada di antara pakej itu kadang-kala tidak diketahui status kesahihannya. Bukankah ibadah korban ini tujuan asalnya untuk membantu diri kita dan orang lain agar beroleh keberkatan dalam rezeki? Allah SWT berfirman:
"Dan belanjakanlah (harta benda kalian) di jalan Allah, dan janganlah kalian menjatuhkan diri kalian sendiri ke dalam kebinasaan” (QS Al – Baqarah: 195).
Benar, dalam melakukan ibadah korban kita disarankan untuk memilih pakej yang sesuai dengan bajet yang disediakan. Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa pakej yang amat murah menjadi sasaran para pemangsa sindiket pakej ibadah korban untuk memperdayakan mangsanya. Jadi, adalah lebih baik sekiranya kita menyiasat kesahihan penganjur dan pakej yang disediakan kerana pada hari ini terlalu banyak syarikat atau pihak ketiga yang menyediakan pakej-pakej korban dengan tidak mempunyai lesen pendaftaran. Pakej korban palsu ini sangat memalukan agama kita kerana menipu orang ramai atas urusan agama yang penting ini demi keuntungan diri sendiri.
Justeru, umat Islam di negara ini haruslah berwaspada dengan pakej-pakej korban murah yang ditawarkan di laman sosial. Jangan kerana ingin terlalu berjimat, maka akhirnya kita jatuh ke tahap bakhil. Tidak ada salahnya untuk berbelanja lebih sedikit untuk ibadah korban asalkan ianya sah dan berdaftar dengan Kerajaan Malaysia ataupun Majlis Agama Islam di setiap negeri. Jangan sampai menjadi bakhil hingga tertipu dengan pakej ibadah korban palsu yang semakin berleluasa. Firman Allah SWT:
"Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka.” (QS Ali ‘Imran: 180).
Sumber: Sinar Harian (15 Jun 2022)
Comments
Post a Comment