BERUSAHALAH UNTUK MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DI AIDIL ADHA KERANA IA ADALAH AMALAN YANG AMAT DISUKAI OLEH ALLAH SWT

 


Berbaki seminggu lagi kita akan menyambut sambutan perayaan Aidil Adha, hari di mana umat Islam memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dalam melaksanakan perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S. sebagai bukti tanda kecintaan Baginda kepada Allah SWT. Dalam surah Al - Soffat, ayat 107 Allah SWT berfirman: 

"Dan kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibas) yang besar." 

Perlu kita ketahui bahawa tiada amalan yang lebih disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW saat tibanya Hari Raya Aidiladha, selain daripada melaksanakan ibadah korban. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: 

"Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidil Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya." (Sunan Tirmizi). 

Sesungguhnya, terlalu banyak ganjaran yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang melakukan ibadah korban dengan ikhlas semata-mata keranaNya. Ini kerana titisan darah haiwan korban yang keluar akan menjadi pengampunan dosa-dosa lalu kepada mereka yang melaksanakan ibadah berkenaan sebagaimana disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat al-Hakim. Meskipun dijanjikan pengampunan dosa-dosa lalu, namun ia hanyalah melibatkan dosa-dosa yang kecil sahaja. 

Ibadah korban sebenarnya sebagai kifarat buat diri kita. Masakan tidak, sepanjang tahun, memang banyak kewajipan yang dilakukan termasuklah solat fardu, tetapi kekurangan yang ada padanya boleh ditampung dengan solat sunat. Sebaliknya, bagi perbuatan dosa pula, ibadah korban menjadi salah satu daripada kifarat dosa-dosa kita. 

Bukan itu sahaja, dengan melakukan ibadah korban juga kita dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan membelanjakan harta untuk mereka. Ketahuilah, membantu orang susah merupakan sifat orang beriman. Ibadah korban yang kita buat untuk membantu golongan ini merasai nikmat makan daging. Secara tidak langsung, kita sebenarnya sedang bersedekah. Dengan asbab itu, Allah SWT akan melipatgandakan lagi harta dan pemberianNya kepada kita kerana menzahirkan rasa syukur dengan cara sebegitu. 

Oleh itu, laksanakanlah ibadah korban selagi berkemampuan dan ikhlas kerana Allah SWT agar kita dapat beroleh kerahmatan daripadaNya. 

Sumber: Koleksi hadis Jimaain bin Safar, people@utm


Comments