FAHAMAN ATEISME ADALAH SESAT MALAH KEYAKINAN YANG MENOLAK KEWUJUDAN TUHAN AMAT BERTENTANGAN DENGAN FITRAH KEHIDUPAN MANUSIA YANG BERAKAL - KENAPA MASIH MEMPERCAYAI ATEIS?
Perjalanan sejarah yang panjang dalam soal agama dan kepercayaan kepada Tuhan telah menyebabkan sebahagian manusia semakin hilang pegangan. Dalam tamadun manusia, khususnya tamadun Greek, dari aspek pegangan ketuhanan boleh dibahagikan kepada tiga golongan iaitu golongan syirik, golongan bertuhan dan golongan ateis.
Daripada ketiga-tiga golongan tersebut, ateis adalah golongan minoriti, walaupun golongan pertama adalah golongan yang syirik kepada Tuhan. Hal ini membuktikan bahawa fahaman ateis yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan adalah tidak diterima oleh majoriti manusia yang berakal.
Selain itu, konsep ketuhanan juga merupakan doktrin terbesar dalam sesebuah agama, kerana Tuhan ialah sumber utama kepada setiap agama. Contohnya dalam agama Kristian (Nasrani), sebagaimana agama Yahudi juga, kepercayaan kepada Allah SWT sebagai Tuhan adalah tunjang terpenting dalam agama Samawi tersebut walaupun berlaku beberapa penyelewengan tentang konsep ketuhanan.
Allah telah mengutuskan Nabi Isa AS (dikenali sebagai Jesus Christ oleh penganut Kristian) bertujuan untuk mengembalikan fitrah manusia beriman kepadaNya, namun Nabi Isa telah dikhianati dan difitnah oleh Kaum Bani Israil atau Yahudi. Begitu juga perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir yang membawa ajaran agama Islam kepada seluruh manusia adalah bagi meneruskan misi mentauhidkan Allah SWT.
Hal ini menunjukkan bahawa kepercayaan kepada kewujudan Tuhan adalah perkara yang diterima secara fitrah semulajadi dan menjadi perkara yang darurat memandangkan hampir seluruh manusia di dunia adalah beragama. Fenomena ini disimpulkan oleh ahli sejarah bahawa tidak pernah terdapat sebuah bandar pun tanpa adanya rumah ibadat. Dalam erti kata lain, semua agama menyeru kepada Tuhan, walaupun setiap agama itu berbeza tentang konsep ketuhanan masing-masing.
Maka golongan ateis yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan adalah tidak mewakili gagasan pemikiran terbesar manusia sejagat yang mempercayai kewujudan Tuhan. Malah penentangan serta penolakan golongan ateis terhadap Tuhan menunjukkan bahawa mereka sebenarnya percaya kepada Tuhan dan merasa sangat terugat dengan kepercayaan ateisme yang mereka anuti. Namun mereka sengaja mencari-cari alasan untuk hidup bebas dan tidak terikat dengan kepercayaan agama atas faktor kejahilan dan kesombongan untuk mencari kebenaran.
Sumber: Ateisme: Satu Penelitian Awal -JAKIM
Comments
Post a Comment