HARI-HARI TERBAIK DI 10 AWAL ZULHIJJAH REBUTLAH PELUANG UNTUK MELAKUKAN IBADAH DEMI MERAIH PAHALA YANG BERGANDA
Beberapa hari lagi kita akan masuk bulan Zulhijjah iaitu satu bulan yang terdapat banyak keistimewaan dan kehebatannya terutamanya di hari 10 terawal bulan Zulhijjah. Bahkan amalan soleh yang dilakukan di 10 terawal bulan Zulhijjah adalah amalan soleh yang terbaik dan paling dicintai oleh Allah SWT.
Ulama salaf menyatakan bahawa 10 hari terawal di bulan Zulhijjah adalah hari-hari yang terbaik di dunia ini malah lebih baik daripada amalan di bulan Ramadhan. Sehingga Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama di bulan Zulhijjah ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan antara antara sebab istimewanya 10 hari terawal bulan Zulhijah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu, solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu. Keistimewaan beribadah di 10 awal Zulhijjah ini banyak dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Antaranya Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah)." Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun. (HR Bukhari).
Diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, daripada Jabir, Baginda SAW bersabda:
“Tidak ada hari-hari yang lebih utama di sisi Allah daripada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah.” (HR Ibnu Hibban).
Dalam satu hadis marfu’ riwayat Ibn Umar Rasululullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini.” (HR Imam Ahmad dan al-Baihaqi).
Banyak amalan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Maka rugilah bagi mereka yang mendapat peluang keemasan ini tetapi mensia-siakannya dengan pelbagai alasan. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah:
1. Puasa
Puasa merupakan ibadah yang agung. Oleh itu menjadi satu sunnah Baginda Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah.Dari Hafshah R.A, dia berkata:
“Empat perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah: Puasa 'Asyura, puasa sepuluh hari (di Bulan Zulhijjah), puasa tiga hari dalam setiap bulan dan dua rakaat sebelum Subuh. (HR An-Nasai).
Sementara itu, pada 9 Zulhijjah, hari Arafah bersempena hari wukuf di Padang Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
“Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim).
2. Takbir, Tahlil dan tahmid
Memperbanyakan takbir, tahlil dan tahmid pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah adalah amalam yang sangat dituntut. Rasulullah SAW bersabda:
“Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya.” (HR Ahmad).
3. Melakukan ibadah korban
Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah. Baginda Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari Al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR Tirmizi ).
4. Memperbanyakkan berdoa
Kelebihan bulan Zulhijjah juga terletak pada doa yang diucapkan, terutamanya pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (HR al-Tirmizi).
5. Memperbanyakkan berzikir
Antara cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah juga adalah dengan memperbanyakkan zikir. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR Ahmad).
6. Memperbanyakkan sedekah
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (HR al-Thabrani).
7. Mentadaburi ayat al-quran
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya. Firman Allah SWT:
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (QS al-Nisa’: 82).
Oleh itu, setiap daripada kita perlu menginsafi setiap amalan yang dilakukan pada hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (Baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijjah).” (HR Bukhari).
Maka dari itu, marilah kita semua berazam untuk mengejar fadilat 10 hari pertama di bulan Zulhijjah tahun ini dengan melakukan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah SAW seperti dinyatakan di atas agar kita sentiasa beroleh rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT. Inilah yang sewajarnya direbut oleh setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaanNya serta kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.
Sumber: Bayan Li Al-Haj, Siri ke 32: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Comments
Post a Comment