ISU MENGHINA NABI MUHAMMAD SAW WALAUPUN MARAH, KITA PERLU BERTINDAK DENGAN BIJAKSANA BUKANNYA SECARA EKSTRIM DAN DI LUAR BATAS SYARIAT
Isu penghinaan ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW yang dibuat oleh dua orang ahli politik negara India sememangnya mengundang kecaman, kutukan dan amarah umat Islam di seluruh dunia. Beberapa negara Islam dari seluruh dunia mengutuk tindakan tersebut bahkan salah sebuah antara negara-negara Islam iaitu Kuwait kini sedang menjalankan boikot ke atas barangan mahupun perkhidmatan pekerja daripada India sebagai tanda protes.
Namun, tidak kurang juga ada yang bertindak keterlaluan dengan menyerang keperibadian pelaku-pelaku terbabit termasuk menghina agama anutan mereka. Mengapa perlu bertindak sedemikian? Bukankah Islam menegah umatnya agar tidak menghina agama lain. Benar, kita marah dan emosi terhadap perlakuan mereka terhadap kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Tetapi menghina, mencaci, memaki dan menyerang keperibadian seseorang ataupun agama itu bukanlah jalan yang sebetulnya. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (QS Al – An’am: 108).
Hal ini juga turut dikongsi oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dengan berkata Islam berpegang kepada prinsip agama yang mana tidak membenarkan atau mengizinkan umatnya menghina agama lain. Beliau menyarankan supaya umat Islam bertindak balas secara intelektual menerusi muzakarah dan wacana.
Seharusnya dalam hal ini, kita sebagai umat Islam harus menggunakan pendekatan yang lebih efisien dan lebih berintelektual. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh negara Kuwait dalam menzahirkan kemarahan mereka terhadap dua ahli politik India terbabit. Kerajaan mereka dengan serta-merta menjalankan boikot secara besar-besaran terhadap negara tersebut selagi tiada kata permintaan maaf secara terbuka daripada pemerintah negara terbabit. Jangan terpancing dengan nafsu amarah, kelak kita dan umat Islam yang lain akan dilabel sebagai pengganas agama. Kita sepatutnya menunjukkan contoh Islam agama yang baik namun tegas, tidak menghina agama orang lain tetapi tidak juga bertoleransi saat agama kita dihina.
Jangan terlalu ekstrim di luar batas syariat agama sebaliknya bertindaklah dengan bijaksana dalam menentang kezaliman terhadap agama Islam. Allah SWT berfirman:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (QS Al – Nahl: 125).
Sumber: Sinar Harian (7 Jun 2022)
Comments
Post a Comment