JADILAH SEORANG YANG 'TAWADUK' (BERSIKAP RENDAH HATI) NESCAYA AKAN DITINGKATKAN DARJATNYA OLEH ALLAH SWT
Jika hendak tengok kualiti diri, lihatlah kualiti hati. Apabila hati penuh dengan sifat rendah diri, baru hidup seorang insan itu berkualiti dunia dan akhirat. Jika hendak tahu sama ada kita seorang yang rendah hati atau tidak, nilai diri adakah kita ini suka mengutuk dan memperlekehkan orang. Kedua, adakah kita suka melihat kebaikan orang atau keburukannya. Ketiga, adakah yang kita lakukan mengecilkan hati atau membahagiakan orang? Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang tawaduk (rendah hati) kerana Allah, maka Allah akan mengangkat (darjat) nya (di dunia dan akhirat). Dan siapa yang sombong maka Allah akan merendahkannya.” (HR Ibnu Mandah dan Imam Abu Nu’aim).
Jika kita berjaya melakukan sesuatu dan terserlah kehebatan itu, cepat pulangkan rasa kehebatan kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT untuk menghilangkan rasa ego serta memadamkan rasa berjasa kepada orang. Kita mestilah mendidik hati kita bahawa sesuatu kelebihan yang kita miliki dan memberikan manfaat kepada orang lain itu datangnya dari Allah SWT. Misalnya, apabila menolong orang sebenarnya bukan kita yang tolong, tetapi Allah SWT yang tolong mereka melalui kita. Allah SWT yang mengizinkan kita ada rezeki, kudrat, masa dan kesihatan untuk menolong orang serta memberi rahmat kepada makhluk Allah SWT yang lain. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidaklah seseorang memiliki sifat tawaduk (rendah hati) kerana Allah, melainkan Allah akan meninggikannya.” (HR Muslim).
Hati yang penuh dengan reda kepada Allah SWT, Dia akan penuhi hati itu dengan perkara yang mendekatkan kepada-Nya. Hati yang mencari penghargaan manusia, Allah SWT akan penuhinya dengan keresahan dan kesibukan tidak menentu hingga tidak ada masa untuk beribadat kepadaNya. Orang yang rendah hati memandang orang lain lebih baik daripadanya, hingga tidak terserlah kewujudannya sebab tidak disebut kehebatan dan kebaikannya. Orang yang rendah hati lebih suka menerima teguran berbanding menerima pujian. Oleh itu, didiklah hati kita supaya lembut dan khusyuk melakukan sesuatu kebaikan hanya dengan niat mendapat reda Allah SWT dan Dia menerima amalan kita.
Sumber: Berita Harian (9 Disember 2017)
Comments
Post a Comment