JAGALAH TUTUR KATA DARIPADA 'GHIBAH' (MENGUMPAT) KERANA IA ADALAH PERBUATAN KEJI DAN DOSA BESAR YANG DIMURKAI ALLAH SWT


Dari segi bahasa, 'ghibah' bermaksud membicarakan mengenai hal negatif atau positif tentang orang lain atau lebih ringkasnya mengumpat. Dari segi istilah, 'ghibah' bererti pembicaraan antara sesama Muslim tentang Muslim lainnya dalam hal yang bersifat buruk atau hal yang tidak disukai. Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kalian, apakah itu ghibah? Para sahabat menjawab, ‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘engkau membicarakan sesuatu yang terdapat dalam diri saudaramu mengenai sesuatu yang tidak dia sukai.” (HR Muslim). 

Selain itu, firman Allah SWT:

“...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (QS Al – Hujurat: 12).

Tidak dinafikan bahawa zaman teknologi tanpa sempadan ini apatah lagi dengan kehadiran pelbagai platform media sosial, ia membuatkan ramai di antara kita yang sering mengeluarkan komen-komen terhadap sesuatu video yang dimainkan. Namun awas! Setiap ayat yang dikeluarkan dari hati dan diterjemahkan oleh jari jemari kita kadangkala mengundang dosa 'ghibah' yang termasuk dosa besar! Ramai orang terlibat dalam pemanfaatan media sosial. Ia seolah- seolah satu kebebasan untuk diri mereka mengeluarkan apa sahaja perkataan atau bicara yang mereka inginkan tanpa mengira dosa pahala. 

Ingatlah bahawa sebelum bercakap tentang hak, setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab menjaga lisan dan jemari masing-masing kerana semuanya akan dinilai di sisi Allah SWT. Perbuatan melemparkan kata-kata buruk dan tulisan yang menjelikkan boleh berlaku sama ada oleh orang muda ataupun orang tua. Kadang kala orang muda belajar memberanikan diri mengungkapkan kata-kata atau tulisan yang tidak sopan daripada orang yang lebih tua daripada mereka. Justeru, setiap orang perlu berusaha mengawal diri daripada melemparkan kata-kata tidak baik kepada orang lain.

Sebenarnya dalam usaha menegakkan kebenaran, tidak perlu pengungkapan yang sensasi berbentuk kutukan, celaan, serangan peribadi dan sebagainya. Niat yang baik tidak akan sama sekali menghalalkan tatacara yang salah. Gunakanlah cara yang baik dan terhormat dalam menyelesaikan sebarang permasalahan kerana akhirnya setiap tindakan yang diambil akan dinilai oleh Allah SWT. Sesungguhnya setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang insan boleh menyebabkannya dirinya dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya jika perkataan tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT, maka ia boleh menjadi sebab diri seseorang dilemparkan ke dalam neraka. Sabda Rasulullah SAW:

"Sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan keredaan Allah, namun dia menganggapnya ringan, kerana sebab perkataan tersebut Allah meninggikan darjatnya. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia menganggapnya ringan dan kerana sebab perkataan tersebut dia dilemparkan ke dalam api neraka."  (HR Bukhari dan Muslim).

Jagalah lisan dan jemari kita semua kerana ia boleh menjadi punca diri mendapat dosa. Sebaliknya manfaatkanlah lisan dan jemari untuk mengumpul ganjaran pahala daripada Allah SWT sesungguhnya kita diciptakan di atas dunia ini untuk meraih keredaanNya. Ingatlah akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang melarang seseorang daripada (mengaibkan) maruah saudaranya, maka Allah akan menahan mukanya daripada api neraka di hari kiamat kelak." (HR al-Tirmizi).

Sumber: Harian Metro (6 Disember 2021)


 

Comments