JAGALAH UKHUWAH SESAMA MUSLIM DAN JANGAN BERPECAH BELAH DEMI MEMBINA KEKUATAN UMMAH SERTA MENDAPAT RAHMAT ALLAH SWT
Islam adalah agama yang mementingkan hubungan baik sesama insan. Istilah 'hablum minan nas' sering didengari kerana ia menjelaskan kepentingan hubungan baik antara manusia. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang boleh hidup sendirian tanpa berhubungan dengan orang lain. Begitulah fitrah kehidupan manusia yang saling memerlukan kerana keterbatasan kudrat yang ada. Sehebat manapun seseorang insan, dia tetap bergantung harap kepada orang lain kerana dirinya tidak boleh hidup secara berseorangan. Sabda Rasulullah SAW:
"Ar-Rahim (silaturahim) adalah syijnah (daun pohon yang rendang) barang siapa menyambungnya maka aku akan menyambungnya dan barang siapa memutuskannya maka akupun akan memutuskannya." (HR Bukhari).
Untuk itu, sebagai umat Islam kita hendaklah menjaga serta mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama insan agar asas perpaduan dalam agama itu dapat dikekalkan. Islam telah menggariskan banyak perkara tentang keperluan dan tatacara untuk megeratkan ukhuwah sesama Muslim. Ini termasuklah menghormati jiran, menolong orang dalam kesusahan, menyebarkan salam, menziarahi orang sakit, mendoakan kebaikan untuk orang lain, mengeratkan silaturahim dan sebagainya. Semua ini adalah antara perkara yang perlu dilakukan bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. Dengan perbuatan baik yang dilakukan terhadap orang lain, maka diri turut akan menerima manfaatnya kerana kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Dalam surah al – Fussilat, ayat 46, Allah SWT berfirman:
"Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang melakukan kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya."
Selain daripada menjaga ukhuwah, Islam juga menggalakkan umatnya sentiasa memberi. Justeru, pemberian buah tangan atau hadiah dapat menggembirakan dan merapatkan silaturahim. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:
"Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai." (HR Bukhari).
Lihatlah dengan mata hati betapa Islam sangat menjaga hubungan sesama manusia sehingga perkara yang melibatkan perbuatan bersifat bukan wajib pun diberi petunjuk agar tidak menimbulkan suasana tidak harmoni dalam hubungan insani. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga ukhuwah sesama umat Islam dalam usaha untuk membina kekuatan ummah dengan cara menguatkan lagi hubungan silaturahim dan untuk memperoleh kebaikan serta ganjaran daripada Allah SWT. Marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku dengan melakukan perbuatan yang baik serta meninggalkan perbuatan yang buruk. Fikir-fikirkanlah terlebih dahulu kesan daripada perbuatan yang akan dilakukan kerana boleh jadi ia mengundang dosa yang akan merugikan diri di akhirat kelak. Sedarilah wahai umat Islam bahawa menjaga ukhuwah itu adalah suatu kewajipan sepertimana Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al – Hujurat: 10).
Sumber: Harian Metro (21 Jun 2022)
Comments
Post a Comment