JUMAAT PENGHULU SEGALA HARI LAKUKAN AMAL KEBAIKAN SEBANYAK MUNGKIN UNTUK MERAIH PAHALA YANG BERGANDA SERTA KEAMPUNAN DOSA-DOSA DARIPADA ALLAH SWT

 


Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri.” (HR Ibn Majah).


Kebanyakan daripada kita sudah pun mengetahui bahawa hari Jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat Islam dan hari yang paling mulia. Namun, pernahkah kita terfikir untuk membuat kebaikan yang berganda pada setiap hari Jumaat? Bukanlah bermakna kita tidak perlu berbuat baik pada hari lain cuma berbuat kebaikan pada hari Jumaat ini mempunyai kelebihannya tersendiri terutamanya apabila seseorang itu menunaikan kewajipan solat Jumaat. Orang yang hadir dan menunaikan kewajipannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa. Dari Aus bin Aus RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 


“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.”  (HR Imam Ahmad).


Selain menunaikan kewajipan bersolat Jumaat, amalan bersedekah juga turut digalakkan dalam beroleh rahmat dan pahala yang berganda daripada Allah SWT. Jika hari-hari sebelumnya kita agak keberatan untuk bersedekah, apa kata sekiranya kita mulakannya pada hari yang mulia iaitu hari Jumaat. Siapa tahu, hidayah itu milik Allah SWT maka Dia akan membuka hati kita agar selalu “ringan” untuk menghulurkan bantuan tanpa mengira siapapun penerimanya. Ibnu Qayyim berkata: 


“Sedekah pada hari itu (Jumaat) lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.” 


Oleh itu, sebagai umat Islam kita sangat digalakkan untuk berbuat lebih banyak kebaikan pada hari Jumaat kerana ianya bukanlah sekadar hari yang agung lagi istimewa, tetapi ianya juga hari di mana segala amalan kita dipandang oleh Allah SWT dan hari di mana para malaikat turun ke muka bumi yang tangan mereka terdapat tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak untuk mencatatkan amalan kita untuk dibawa ke hadapan Allah SWT. Tidakkah kita mahu nama kita terselit di salah satu helaian kertas tersebut? Maka, lakukanlah kebaikan yang berganda agar kita beroleh rahmat daripada Allah SWT.


Sumber: Portal Solusi Anak Muda (6 Oktober 2017)

Comments