MERAIKAN PERBEZAAN BUDAYA DAN AGAMA? JANGAN 'TASYABBUH' (MENIRU GAYA ORANG KAFIR) KERANA IA AKAN MENJAUHKAN SESEORANG DARI IMAN DAN ISLAM.
'Tasyabbuh' berasal dari bahasa Arab iaitu 'syabaha' yang bermaksud penyerupaan terhadap sesuatu. Secara istilah, 'tasyabbuh' adalah suatu usaha seseorang untuk meniru sosok yang dikaguminya, baik dari segi tingkah laku, penampilan, hingga sifat-sifatnya dan diaplikasikan dalam kehidupannya.
Cuma 'tasyabbuh' dalam Islam bermaksud meniru sesuatu kaum sama ada dalam hal ibadah, adat istiadat atau gaya hidupnya. 'Tasyabbuh' itu sebenarnya lebih kepada meniru perbuatan kaum kafir terutamanya Yahudi mahupun Nasrani atau kaum kafir lainnya. Sebagai contoh, tradisi Valentine's Day dan Halloween yang sering disambut oleh masyarakat bukan Islam mahupun Islam.
Kini, masyarakat Islam dikejutkan dengan satu tradisi budaya dari negara Jepun yang bakal diadakan di negara ini, iaitu perayaan Bon Odori ataupun lebih dikenali sebagai Perayaan Hantu Lapar oleh penganut agama Buddha. Kini banyak seruan daripada orang Islam yang berfikiran liberal agar umat Islam di negara ini turut merayakan perayan Bon Odori tersebut atas alasan meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini. Walau pihak berkuasa agama dan ahli agama sudah memberikan pandangan yang jelas bahawa perbuatan turut serta dalam perayaan tersebut sebagai satu 'tasyabbuh', namun mereka yang berfahaman liberal ini memberikan seribu satu alasan untuk membenarkan seruan mereka.
Sebenarnya, perbuatan 'tasyabbuh' ini sangat dilarang dalam Islam sehingga Rasulullah SAW tidak mengaku sebagai umat Baginda bagi mereka yang melakukan 'tasyabbuh' seperti sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk
golongan mereka." (HR Imam Ahmad).
Ya, benar kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam pelbagai kaum dan kebudayaan harus meraikan kepelbagaian budaya masyarakat seluruh dunia dalam usaha meraikan diversiti pelbagai kaum. Akan tetapi sebagai umat Islam, yang mana harus didahulukan? Perintah agama atau budaya?
Ramai yang mengecam teguran yang diberikan oleh Menteri Agama agar umat Islam untuk tidak menghadiri festival tersebut. Ramai menuduh teguran ini bersifat ekstremis dan dilabel sebagai pelampau agama. Hakikatnya, teguran itu adalah bersifat tegas dalam menghindari umat Islam dari terus lalai dan leka hingga tidak sedar bahawa mereka secara tidak langsung menjunjung ibadah agama lain yang boleh merencatkan pegangan akidah mereka.
Ingat! Jangan sesekali memperjudikan agama hanya kerana terlalu taksub untuk meraikan kepelbagaian budaya. Jangan sampai kita ini jatuh dalam keadaan 'tasyabbuh'. Rasulullah SAW bersabda:
"Bukan termasuk golongan kami siapa saja yang menyerupai selain kami” (HR Tirmidzi).
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis
Comments
Post a Comment