TUNAIKANLAH IBADAH KORBAN DENGAN PENUH IKHLAS DAN TAKWA KERANA IA SYARAT DITERIMA AMAL SERTA MENDAPAT KEAMPUNAN DOSA DARI ALLAH SWT
Saban tahun umat Islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban di kariah masing-masing. Setiap masjid dan surau akan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan haiwan lembu dan kambing yang sesuai untuk dikorbankan. Manakala pengusaha ternakan juga berusaha untuk menyediakan bekalan secukupnya bagi memastikan setiap permintaan itu dapat dipenuhi dan dijual dengan harga yang berpatutan. Ini bagi memastikan ibadah korban dapat dilaksanakan sesuai dengan jayanya.
Jika dirujuk dalam kitab fiqah, istilah al-udhiyyah merujuk kepada haiwan yang disembelih dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan penyembelihan dilakukan pada hari raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Firman Allah SWT:
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu." (QS Al – Hajj: 37).
Sekiranya perkara asas itu difahami dengan betul, maka amalan korban akan diterima oleh Allah SWT. Setiap amal ibadat yang dilakukan perlulah bertujuan untuk meraih keredaan Allah SWT. Pengorbanan itu bukan nampak pada daging yang dikorbankan sahaja, tetapi pengorbanan yang lebih besar dalam hidup kita sebagai hamba Allah SWT. Siapapun kita, kita tetap perlu melakukan pengorbanan yang lebih luas lagi dalam hidup. Sedangkan apa yang kita lakukan dalam hidup atau apa yang kita inginkan pun menuntut kita melakukan sedikit pengorbanan baru kita mencapai matlamat yang dicari.
Begitu juga dengan ibadah korban, kita melakukan korban dengan mengorbankan haiwan dan agihkan daging korban untuk fakir miskin. Daging korban itu perlu diagihkan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan. Sebolehnya, golongan itulah yang patut diberi keutamaan menerima daging korban. Allah SWT berfirman:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing…” (QS Al – Israk: 26).
Dengan cara itu, barulah segala dosa kita diampunkan oleh Allah SWT kerana dinilai atas dasar takwa. Kalau orang tidak sanggup berkorban dan tidak boleh menyembelih (haiwan) untuk korban, dia ibarat jauh daripada Allah SWT. Sedangkan korban itu sendiri untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Dengan sedikit apa yang Allah SWT rezekikan kepada kita, apalah salahnya jika kita melakukan korban sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas pemberianNya selama ini. Jika tidak mampu, boleh laksanakan ibadah itu dengan satu bahagian korban.
Yakinlah Allah SWT akan segera memberikan ganti perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan-Nya. Setiap pagi, Allah SWT mengutus dua malaikat dengan yang satu berdoa:
“Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang melakukan infak.” Dan yang kedua berdoa: “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan hartanya (kedekut).” (Muttafaq ‘alaih).
Sumber: Sinar Harian (9 Ogos 2019).
Comments
Post a Comment