TURUT SERTA MERAIKAN FESTIVAL ‘BON ODORI’? JANGAN KETEPIKAN HUKUM HAKAM AGAMA HANYA KERANA INGIN MERAIKAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DAN AGAMA DI NEGARA INI
Seperti yang semua maklum bahawa salah satu acara kebudayaan Jepun yang dinamakan Festival Bon Odori akan diadakan di negara ini pada tanggal 16 Julai bertempat di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam. Bukanlah tujuan untuk mempromosi, tetapi ia lebih kepada memberi kesedaran lebih-lebih lagi kepada umat Islam sebelum meraikannya. Tidak dinafikan negara ini meraikan kepelbagaian diversiti dan budaya dari pelbagai bangsa dan negara, namun tuntutan syarak dan hukum hakam agama juga perlu diutamakan.
Apa itu Bon Odori? Perkataan “Odori” dalam bahasa Jepun adalah bermaksud tarian tradisional Jepun. Manakala “Bon” pula adalah nama kepada Perayaan Hantu Lapar iaitu satu amalan dalam keagamaan Buddha. Falsafah dan sejarah di sebalik perayaan Bon ini adalah berasaskan kepada kepercayaan agama yang wujud di dalam agama Buddha. Ini adalah adat Buddha–Konfusius di mana penganutnya akan pulang ke kampung halaman serta membersihkan perkuburan moyang-moyang mereka, ketika roh-roh mereka dikatakan melawat semula altar-altar milik rumah tangga (butsudan). Masyarakat Jepun yang beragama Buddha percaya pada hari Bon tersebut roh nenek moyang akan berkeliaran menziarahi kembali ke rumah. Ini bermakna perayaan tersebut sangat bersangkut paut dengan upacara agama. Firman Allah SWT:
“Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sampai kamu murtad (keluar) dari agamamu, jika mereka sanggup. Barangsiapa murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (QS Al – Baqarah: 217).
Berhati-hatilah wahai umat Islam, walaupun kita digalakkan untuk meraikan kepelbagaian tetapi jangan sampai kita tersesat dengan jarum halus mereka yang berusaha untuk menyesatkan kita. Sudah terang lagi nyata bahawa festival ini bersangkut paut dengan acara agama para penganut lain kerana ianya melibatkan acara pemujaan roh dengan muzik yang dimainkan boleh terkait dengan inti pati rohani ataupun keagamaan mereka.
Ingatlah, jika hendak berhibur banyak hiburan yang boleh kita nikmati tetapi bukanlah perayaan seperti Bon Odori ini kerana ia melibatkan akidah dan pegangan kita sebagai umat Islam. Jangan hanya kerana ingin meraikan kepelbagaian budaya dan pesta, segala bentuk hukum hakam agama ditolak ketepi. Siasatlah dahulu sesebuah perayaan agar kita tidak terjatuh dalam golongan yang musyrik. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud).
Sumber: Utusan Malaysia (7 Jun 2022).
Comments
Post a Comment