BERDOALAH KEPADA ALLAH HINGGA PERKARA YANG REMEH SEKALIPUN KERANA IA MENUNJUKKAN SIKAP PENGGANTUNGAN HARAP KITA KEPADA ALLAH SWT

 

Perkataan 'meminta' dengan 'meminta-minta' membawa konotasi makna yang berbeza. Tidak salah sekiranya kita dibenarkan untuk meminta atau memohon sesuatu yang diingini apatah lagi perkara tersebut diperlukan dalam kehidupan, apatah lagi meminta sesuatu yang dihajati melalui doa. Berdoa amat dianjurkan dalam Islam hinggakan mereka yang tidak berbuat demikian diumpakan sombong dengan Allah SWT. Allah SWT berfirman:

"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang menyombong diri kerana enggan beribadah kepada-Ku, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina dina." (QS Al – Ghafir: 60).

Ayat di atas jelas menunjukkan Allah SWT memberi jaminan akan mengabulkan setiap permintaan hambaNya yang berdoa kepadaNya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

"Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus." (Jami' Tirmizi).

Namun harus diingatkan, kita boleh berdoa kepada Allah SWT. Mintalah apa sahaja, sebagai contoh meluaskan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan juga jodoh yang soleh atau solehah. Akan tetapi, ia juga harus diiringi dengan usaha. Janganlah sekadar ‘meminta-minta’ tanpa usaha kerana Allah SWT mahu melihat sekuat apapun kita dalam mengusahakan sesuatu perkara walaupun ianya sekadar perkara kecil. Malah, Rasulullah SAW turut memberi jaminan syurga kepada orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Daripada Thauban yang merupakan pembantu Rasulullah SAW, dia berkata: "Rasulullah SAW bersabda:  

“Siapakah yang boleh memberi jaminan kepadaku bahawa dirinya tidak akan meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain, dan aku menjaminnya masuk syurga?"  Lalu Thauban berkata:  "Saya!"  Dan Thauban tidak pernah meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain." (HR Abu Daud).

Justeru, berdoalah kepada Allah SWT walau sekecil-kecil perkara atau perkara yang remeh. Ia bukan setakat dibolehkan, bahkan juga ia sebenarnya satu anjuran yang dipesan oleh Nabi Muhammad SAW kepada seluruh umat baginda. Dengan berdoa walaupun hanya sekecil-kecil perkara, ia sebenarnya menunjukkan betapa tingginya pergantungan kita kepada-Nya. Oleh itu, perbanyakkan doa kepada Allah, meskipun dalam perkara yang kecil-kecil kerana ia semakin menunjukkan kefaqiran kita di hadapan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

"Mintalah kepada Allah bahkan meminta tali sendal sekalipun". (HR Al-Baihaqi).

Sumber: Sinar Harian (1 Ogos 2019)


Comments