DULU BAIK, KINI PENGHINA AGAMA BUKAN TAKDIR ILAHI TETAPI KETANDUSAN IMAN AKIBAT GODAAN SYAITAN DAN MENGIKUT HAWA NAFSU

 

Sejak kebelakangan ini, sering terjadi perlecehan agama Islam yang dilakukan oleh sesetengah pihak. Mereka melakukan pelanggaran hukum syariah yang sesetengahnya seperti tidak masuk akal dan apa yang lebih menyedihkan apabila dikhabarkan orang yang melakukannya itu dahulu adalah orang baik, belajar agama, menghafaz al-Quran dan sebagainya. Kes jenayah syariah sebegini cukup membimbangkan terutama yang membabitkan penghinaan terhadap Nabi SAW dan agama Islam.

Mengapa hal sedemikian terjadi? Antara puncanya adalah kelompongan iman dalam jiwa hingga memberi peluang kepada syaitan untuk masuk mempengaruhi diri. Akibatnya orang yang baik sekalipun, jika sudah dipengaruhi oleh hasutan syaitan dan godaan hawa nafsu akhirnya menjadi mantan orang baik atau lebih teruk lagi mantan orang Islam. Mantan orang baik, sekiranya memperoleh su'ul khatimah, nerakalah balasan untuknya. Apa yang dikhuatirkan, mantan orang baik ini suka berhujah dengan takdir kononnya dia memang ditetapkan jadi begitu. Seolah-olah dia mengetahui ketentuan takdir yang ditetapkan untuknya. Walhal ia hanya pembohongan diri semata-mata kerana tiada siapa yang mengetahui takdirnya yang sebenar melainkan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya ada orang yang sentiasa melakukan amalan ahli syurga berdasarkan apa yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah daripada ahli neraka. Dan ada orang yang sentiasa melakukan amalan ahli neraka berdasarkan apa yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah daripada ahli syurga." (HR Bukhari & Muslim).

Nasib seseorang sebenarnya mempunyai hubungan dengan apa yang diusahakan oleh dirinya sendiri, meskipun tidak diketahui orang lain. Lebih-lebih lagi apa yang ada di dalam hatinya kerana apa-apa yang menjadi kepercayaan dalam dirinya itu yang akan menentukan nasibnya di akhirat kelak. Dalam hal ini, bukan takdir yang patut dipersalahkan. Apa yang dilakukan, itu adalah atas tanggungjawab sendiri. Sebagai umat Islam, kita seharusnya berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik dan cemerlang dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam dan bukannya merosakkan. 

Setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Orang Islam diperintah agar melakukan banyak kebaikan sepanjang kehidupan di dunia sebagai bekalan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat nanti. Apabila melakukan kebaikan, pastikan ia dilakukan ikhlas kerana Allah SWT kerana dengan keikhlasan sahaja dapat mengundang rahmat daripadaNya. Jangan sesekali memperlekehkan agama hanya untuk tujuan hiburan. Berbuat baiklah kepada agama Islam dan agama lainnya agar Allah SWT memberikan rahmat kepada kita, In Shaa Allah. Firman Allah SWT:

"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami (Allah) akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (QS Ash – Shura: 20).

Sumber: Harian Metro (12 Ogos 2021).


Comments