FADHILAT ISTIGHFAR PERBANYAKKANLAH BERISTIGHFAR KERANA BUKAN SAHAJA UNTUK MEMOHON KEAMPUNAN DARIPADA DOSA BAHKAN DI DALAM ISTIGHFAR JUGA ADA BANYAK KELEBIHAN DAN KEHEBATANNYA
Firman Allah SWT:
“Dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (QS An – Nisaa’: 106).
Agama Islam telah mengajarkan kita beberapa langkah bagi menjernih dan membersihkan hati dan jiwa kita daripada sebarang dosa dan maksiat iaitu dengan memperbanyakkan zikir, taubat dan istighfar. Hakikat istighfar dalam agama Islam itu adalah untuk menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah SWT sambil memohon ampun kepadaNya dari segala dosa. Allah SWT sengaja mendatangkan pelbagai masalah untuk melihat sejauh mana kita menyelesaikannya. Adakah kita menjadi seorang merintih masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian.
Lazimnya lafaz istighfar itu diungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah. Ia juga dilafazkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa. Harapan kita tentu sekali supaya dosa kita dihapuskan. Namun, manfaat istighfar lebih jauh daripada itu. Terdapat banyak fadhilat ataupun kelebihan yang dikurniakan Allah SWT bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Selain beristighfar untuk membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang dosa dan maksiat, istighfar juga menjadi asbab kepada ketenangan hati, merungkaikan kesempitan hidup serta mendatangkan razeki.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan daripada setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).
Adapun antara kelebihan dan kehebatan memperbanyakkan istighfar dapat diringkaskan seperti berikut:
1) Memperoleh keampunan daripada Allah SWT.
2) Hati merasa senang dan terhindar daripada rasa gundah-gulana.
3) Rasa diri lebih dekat dengan Allah SWT.
4) Memperoleh perlindungan daripada Allah SWT daripada hasutan syaitan.
5) Dimakbulkan permintaan dan hajatnya oleh Allah SWT.
6) Dijauhkan dari azab dan bala.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang beristighfar seperti itu pada siang hari dengan penuh keimanan kemudian ia mati sebelum waktu malam tiba, maka ia akan masuk syurga dan siapa yang beristighfar seperti itu pada malam hari dengan penuh keimanan kemudian dia mati sebelum waktu pagi tiba, maka ia akan masuk syurga.” (HR Al-Bukhari).
Perlu diketahui, bahawa istighfar itu sangat penting dalam kehidupan kerana terdapat banyak fadhilat ataupun kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar. Oleh yang demikian, marilah kita memperbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT dalam sehari dengan keadaan yang penuh pengharapan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita dan untuk meraih berbagai fadilat istighfar kerana di dalam istighfar itu ada kelebihan dan kehebatannya tersendiri. Firman Allah SWT:
“Maka aku berkata (kepada mereka): “Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” “(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu.” “Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kawan-kawan serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (QS An – Nuh: 10-12).
Sumber: Harian Metro (20 Oktober 2018).
Comments
Post a Comment