Sebagai umat Islam, kita seharusnya sudah mengetahui apa tujuan kita hidup di dunia ini. Sudah semestinya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT bagi mendapat ganjaran pahala dan syurga pada Hari Akhirat. Akan tetapi, ia tidak semudah yang disangka kerana Allah SWT akan mendatangkan setiap ujian kepada hambaNya untuk melihat seteguh mana keimanan kita kepadaNya. Firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al – Baqarah: 155).
Saban hari, pelbagai kes atau isu yang tidak diingini berlaku di dalam negara. Ini berpunca daripada keteguhan iman semakin nipis akibat hasutan syaitan mahu menyesatkan serta mencetuskan persengketaan dalam kalangan manusia supaya benci-membenci antara satu sama lain. Jika diteliti dan dilihat semula, pelbagai faktor menjadi punca perselisihan serta perbalahan sehingga mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini disebabkan dendam menguasai diri seseorang. Iman seseorang yang lemah juga menjadi sebab hilangnya kewarasan dalam tingkah laku individu. Pelakunya dilihat seperti tidak sedar apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan dan dosa besar.
Dalam perkara ini, bukan sahaja agama Islam malah kepercayaan selain Islam juga turut menekankan keharmonian sesama manusia demi memastikan setiap orang dapat hidup dengan aman damai. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala orang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala orang mencontohinya itu sedikit pun. Sesiapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa orang mengikutnya tanpa mengurangkan dosa orang mencontohinya itu sedikit pun.” (HR Muslim).
Orang Islam mengakui iman pada diri mereka ada pasang surutnya. Oleh demikian, kita perlu memperkukuhkan iman dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Dalam aspek ini, umat Islam perlu memastikan kehidupan kita berlandaskan kepada al-Quran dan hadis supaya jiwa kita sentiasa dipandu ke arah jalan kebenaran, sekali gus dijauhkan daripada sifat mazmumah (buruk) yang melalaikan serta merugikan kehidupan. perbanyakkanlah amalan seperti soleh seperti mendirikan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar bagi memperbaiki serta memperkukuh iman masing-masing.
Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu berusaha memelihara diri dan memelihara iman supaya tidak terpesong daripada landasan kehidupan diberkati serta dirahmati Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik); mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS. Al-An'am: 82).
Kita perlu berfikir dengan waras dan menilai sedalam-dalamnya sebelum tergerak melakukan sesuatu tindakan agar tidak merugikan diri sendiri dan orang lain. Umat Islam perlu mengawal nafsu supaya tidak melakukan sesuatu tindakan di luar batasan manusia dan agama. Ingatlah Allah SWT dalam segala keadaan dan suasana serta reda dengan ketentuan-Nya. Setiap perkara menimpa diri atau keluarga kita mempunyai hikmah dijanjikan Allah SWT.
Sumber: Berita Harian (10 Jun 2022).
Comments
Post a Comment