MUSIBAH BANJIR DI BALING, KEDAH SABAR DAN REDHA DALAM MENGHADAPI MUSIBAH ADALAH TANDA MUKMIN SEJATI DAN AKAN MENDAPAT KASIH SAYANG ALLAH SWT
Musibah banjir yang melanda Kampung Iboi di Baling Kedah cukup merentap hati kita sebagai rakyat Malaysia. Manakan tidak, dalam kejadian itu ada yang kehilangan anggota keluarga dan sebahagian besarnya mengalami kerugian harta benda akibat daripada kejadian tersebut. Namun, mereka terus kuat untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Sebagai insan yang diduga dengan ujian yang hebat ini, mereka harus bersabar dan redha atas ketentuan yang ditetapkan oleh yang Maha Esa. Ia seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (QS Al – Baqarah: 155).
Kehidupan manusia tidak terkecuali orang beriman, tidak pernah terpisah daripada diuji oleh Allah SWT sejak mula dilahirkan hingga menjengah kematian. Justeru, dalam menghadapi ujian yang diturunkan oleh Allah SWT, para Mukmin digesa untuk tidak putus daripada meminta pertolongan daripada Allah SWT tetapi pada masa sama, menjadikan sabar sebagai cara memohon bantuanNya. Orang yang beriman harus bersabar dan kekal istiqamah dalam melakukan ibadat supaya mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang suka Allah makbulkan permohonannya ketika dalam kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa senang." (HR At – Tirmidzi).
Perjalanan kita bukanlah semata-mata di dunia ini. Malah tiada yang akan hidup selama-lamanya kerana semuanya akan mati di hadapan Allah SWT. Jadi sekiranya kita bersabar apabila berdepan dengan ujian di dunia ini, maka sudah tentu Allah SWT akan memberikan ganjaran dan menjanjikan kebahagiaan pada hari akhirat kelak.
Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti sakit atau kejadian yang tidak terduga seperti banjir di Baling ini amat perlu kepada seorang hamba Allah SWT. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada’ dan qadar Allah SWT, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi kesakitan yang dialami.
Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". (QS Ali Imran:146).
Oleh itu jika kita menerima ujian, maka kita perlu bersabar dan berdoa dan bermohonlah kepada Allah SWT kerana Dia sahajalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. Diharapkan para penduduk Kampung Iboi, Baling Kedah sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan bangkit dari pengalaman pahit serta mulakan semula kehidupan yang lalu. Allah SWT uji tanda Dia sayang akan anda semua. Allah SWT tahu anda semua adalah manusia-manusia yang kuat dan tangguh dalam menghadapi dugaan ini. Marilah kita semua berdoa akan kesejahteraan para penduduk Kampung Iboi akan terhindar dari segala musibah dan diredhai Allah SWT, Aamiin.
Sumber: Berita Harian (15 Januari 2021)
Comments
Post a Comment