SALING MEMAHAMI, BERTOLERANSI DAN HORMAT MENGHORMATI DI ANTARA SATU SAMA LAIN ADALAH KUNCI KEKUATAN UMMAH

 

Sekiranya kita perasan atau tidak, ukhuwah di kalangan umat Islam pada hari ini semakin hari semakin longgar, hilangnya persefahaman dan banyaknya perseturuan serta perpecahan. Ini kerana dek mainan politik sesetengah pihak yang cuba untuk melemahkan perjuangan umat Islam dalam berdakwah dan menghasut yang lainnya dengan agenda yang mengelirukan. Umat Islam seharusnya sedar dan segera bertindak kerana tanpa ukhuwah yang padu, maka huru – haralah keamanan dalam dunia ini. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (QS Al – Hujurat: 49).

Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai, saling memahami dan hormat-menghormati sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafkan, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.  Asas kefahaman dalam ukhuwah sesama umat Islam adalah berdasarkan iman dan takwa. Persaudaraan tanpa iman dan takwa tidak akan dapat bertahan dengan baik. Ini disebabkan persaudaraan tanpa iman dan takwa akan dihancurkan oleh kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok tertentu, pra-sangka isi hati, hasad dengki dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW:

" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim). 

Oleh kerana itu, setiap dari kalangan umat Islam perlu saling memahami antara satu sama lain. Ini kerana ia merupakan antara unsur terpenting dalam sesebuah ukhuwah. Menurut Islam itu sendiri, kehidupan sosial adalah unsur dalam kehidupan yang bermasyarakat. Daripada segi batiniyah, manusia diciptakan daripada pelbagai naluri apabila mempunyai naluri yang mendorong kepada positif atau negatif. Naluri yang negatif ini seharusnya dipupuk jika tidak, impaknya mampu membuat manusia itu sendiri tunduk atas hawa nafsu mereka sendiri. Dalam al-Quran telah dijelaskan mengenai naluri manusia sebagai makhluk sosial dan tujuan penciptaan naluri berkenaan, Allah SWT berfirman:

"Kami telah menentukan di antara mereka keadaan hidup mereka di dunia ini dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka mengambil manfaat daripada sebahagian lain."(QS Az-Zukhruf: 32). 

Ukhuwah tidak boleh dibeli dengan apa pun. Tapi ia diperoleh daripada penyatuan dan persefahaman antara ikatan hati serta ciri istimewa daripada seorang Mukmin yang soleh. Orang yang terikat dengan ukhuwah Islamiyah memiliki banyak keutamaan, antaranya, mereka merasakan kelazatan dan kemanisan iman. Sedangkan orang lain tidak merasakannya. Kepentingan diri dan persefahaman antara satu sama lain merupakan tembok yang paling besar kepada penyatuan ummah. Seringkali manusia kalah apabila berlaku konflik antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Prinsip Islam jelas, bahawa apabila berlaku konflik ini, kepentingan umum adalah mengatasi. Di sini, kekuatan iman yang melahirkan ukhuwah Islam yang sebenar akan diuji. Hanya Iman dan takwa mampu mengenepikan kepentingan diri demi untuk saudara seislam dan agama Islam umumnya.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak.


Comments