SEBARKANLAH KASIH SAYANG SESAMA UMAT MANUSIA KERANA DENGAN BERKASIH SAYANG MAMPU MENGUKUHKAN UKHUWAH


Apabila berbicara tentang berkasih sayang, ia bukanlah sekadar melibatkan dua hati. kasih sayang boleh disebarkan kepada seluruh umat manusia dan juga sejagat kerana dengan kasih sayang lah terbentuknya rukun keharmonian dalam masyarakat. Hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang mengimpikan kesejahteraan dan kemakmuran. Kita melihat bagaimana Islam mengajar umatnya berinteraksi sesama manusia dengan cara yang baik dan akhlak mulia.

Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hambaNya dan kerana itulah manusia diciptakan. Firman Allah SWT:

"Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan." (QS Al – Hud: 118 – 119).

Menyemarakkan kasih sayang sangat dituntut dalam Islam, kerana Allah SWT sentiasa mencurahkan kepada makhlukNya segala kasih sayang dengan memberi pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia. Kasih sayang Allah mengatasi kemurkaanNya. Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka. Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji. Sifat kasih dan sayang mesti menjadi satu fenomena penting bagi umat mengembalikan mereka kepada penyatuan sebenar. Sifat kasih sayang akan mencetuskan perasaan gembira pada orang lain serta menghilangkan kesedihannya.

Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Dengan menyebarkan kasih sayang, kita mampu mengukuhkan lagi ukhuwah sesama manusia, seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Baginda menganjurkan supaya sentiasa memberikan salam kepada muslim yang lain sama ada dikenali ataupun tidak sebagai tanda kasih antara sesama Islam. Menyebarkan salam ini menunjukkan rasa kasih dan percaya kepada muslim lain dengan memulakan komunikasi melalui kalimah berbentuk doa kepada saudara seagama. Perlakuan ini adalah bukti perasaan ukhuwah Islamiyyah dalam dirinya terhadap sesama Muslim. 

Mari kita bersama-sama menyebarkan kasih sayang sesama umat manusia kerana dengan berkasih sayang sahajalah mampu mengukuhkan lagi ukhuwah sesama manusia dan merupakan tanda kesempurnaan seorang umat Islam. Dari Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: 

“Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya.” (HR Bukhari).

Sumber: Berita Harian (13 Mac 2022).


 

Comments