SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1444 - “UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI” - PERKASAKAN KEKUATAN UMMAH DEMI KESEJAHTERAAN AGAMA DAN NEGARA


Tarikh 30 Julai 2022 bersamaan dengan 1 Muharram 1444 Hijrah merupakan hari yang penting bagi umat Islam di mana kita merayakan sambutan nnnnnnnnnnnn  Hijrah iaitu bermulanya tahun baru di dalam kalendar Islam. Tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini adalah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”. Dari tema tersebut, apa yang dapat kita fahami? Ianya sebuah tema yang mengajak kita ke arah penyatuan sesama ummah. Jika kita lihat pada hari ini, perpecahan sering berlaku tidak kira di kalangan umat Islam dan bukan Islam terjadi dek kerana perbezaan ideologi politik dan pendapat yang bercanggah. Bukankah Allah SWT telah memerintahkan kita untuk sentiasa mengukuhkan ukhuwah? Allah SWT berfirman: 

“Dan berpegangteguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Sebagai rakyat yang berada di dalam negara yang berbilang kaum di Malaysia, kita seharusnya meraikan peristiwa hijrah ini dengan penuh penghayatan terhadap semangat kekeluargaan sesama umat manusia. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa peristiwa ini mengajar kita mengenai keluarga besar sesebuah negara yang merangkumi penduduknya dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim. Peristiwa hijrah adalah contoh terbaik dan sandaran jelas yang boleh dijadikan iktibar dalam perjalanan Keluarga Malaysia. Sebagai sebuah keluarga, tentulah ia menuntut pelbagai usaha menjaganya agar institusi keluarga itu tidak runtuh.

Sesungguhnya amat jelas bahawa kukuhnya perpaduan ummah ialah terletak pada asas toleransi dan keharmonian selain dari iman dan takwa. Perpaduan ini dibina dengan teguh oleh jalinan yang mendalam iaitu jalinan ukhuwah Islamiah. Ukhuwah Islamiah inilah yang melerai halangan-halangan perbezaan keturunan, warna kulit, darjat dan sebagainya sehingga umat Islam disatukan atas nama persaudaraan Islam. Atas nama ukhuwah Islamiah ini juga maka setiap individu mukmin bersedia menyingkirkan persengketaan, menolak jauh-jauh unsur-unsur yang boleh menjejaskan ukhuwah dengan menukar dendam kepada kasih sayang, mengganti prasangka dengan nilai bersangkabaik, menolak adu domba mengambil rasa setiakawan, melontarkan hasad dengki dan menggantikannya dengan budaya bersyukur dan bergembira dengan nikmat yang diterima oleh saudara seagama. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah ibarat satu binaan yang saling sokong menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain”. (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita sama-sama menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini dengan mengukuhkan lagi ukhuwah sesama Islam dan bukan Islam demi kesejahteraan negara dan agama dapat dikekalkan. Walaupun tidak mudah untuk kita mengecapi penyatuan ummah ini, namun ia tidak mustahil. Asalkan kita boleh memahami akan kepentingannya dan tidak menggadaikan ataupun meleburkan prinsip kita hanya kerana kita ingin memperjuangkan agenda yang berbeza.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

Comments