TREND “ASOKA MAKEUP CHALLENGE” DI MEDIA SOSIAL- BERHATI-HATILAH KERANA IA PERBUATAN 'TASYABBUH' (MENIRU PERBUATAN ORANG KAFIR) YANG DILARANG KERAS DALAM ISLAM

 

Artikel ini tidak bermaksud untuk bersikap rasis terhadap sesuatu kaum, tetapi ianya lebih kepada sebagai satu nasihat kepada golongan umat Islam agar tidak terlalu berfikiran terbuka hingga boleh menggugat akidah mereka. Sudah tentu, di dalam agama Islam sendiri, kita meraikan kepelbagaian agama di dunia termasuklah di Malaysia. Bahkan, dalam agama Islam juga melarang kita untuk memperlekehkan agama-agama lain. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (QS Al-An’am: 108).

Namun, dalam kita meraikan kepelbagaian agama jangan pula sampai terikut-ikut dengan kepercayaan mereka. Seperti trend yang beredar di media sosial tentang solekan yang dipanggil ‘Asoka Makeup Challenge’ dan ia menjadi ikutan para selebriti media sosial khususnya para makeup artist (MUA). Trend ini diilhamkan dari filem Bollywood, Asoka di mana para pelakon wanitanya mengenakan solekan anak panah tersebut sepanjang filem itu. Dalam trend tersebut, diperlihatkan tentang gaya solekan kaum India beserta tanda anak panah di dahi. Pada mata kasar, mungkin itu kelihatan biasa, akan tetapi sebagai umat Islam kita kita perlu peka kerana kita tidak tahu apakah peranan anak panah tersebut dalam kepercayaan masyarakat India. Mungkin boleh jadi ia sebahagian dari simbol sembahan mereka atau untuk upacara keagamaan mereka.    

Apa yang cuba diketengahkan di sini adalah agar kita sebagai umat Islam tidak memandang  remeh untuk meniru atau menyerupai sesuatu kaum lain atau dalam bahasa Arabnya disebut ‘Tasyabbuh’ kerana berkait dengan persoalan akidah yang  sangat ditegah dalam agama. Islam sangat menitik berat umatnya agar menjaga batasan syariat supaya tidak melakukan perkara yang melangkaui batasan agama seperti melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT serta melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada lembah kerosakan. Sabda Rasulullah SAW:

 “Bukan termasuk golongan kami siapa yang menyerupai kaum selain kami. Janganlah kalian menyerupai Yahudi, juga Nashrani, karena sungguh mereka kaum Yahudi memberi salam dengan isyarat jari jemari, dan kaum Nasrani memberi salam dengan isyarat telapak tangannya.” (HR At – Tirmidzi). 

Sebagai umat Islam, menjaga akidah merupakan perkara yang penting  Oleh itu, menjauhkan diri daripada segala bentuk ritual ibadah agama lain merupakan perkara yang wajib bagi umat Islam. Dalam etika pemakaian dan perhiasan yang digunakan di dalam agama lain, perkara yang perlu diteliti oleh umat Islam berkaitan persoalan adakah ia merupakan kegunaan bagi syiar atau simbol dalam agama mereka atau hanya sekadar adat dan budayanya sahaja. Hal ini kerana Baginda Nabi SAW melarang menyerupai golongan kafir di dalam hal syiar atau identiti agama mereka. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud). 

Oleh itu, sebelum membuat sesuatu trend maka kita digalakkan untuk selidiki terlebih dahulu fungsi atau maksud sebenar sesuatu tanda yang digunakan. Janganlah kerana mahu meraih perhatian yang banyak dari golongan netizen di media sosial, kita sanggup menggadaikan akidah kita. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Comments