5 AMALAN JIKA DILAKUKAN, TIDAK AKAN MENCIUM BAU SYURGA HINDARILAH!!!


Di akhir zaman ini, manusia diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang menduga keimanan kita kepada Allah SWT. Kita dapat lari daripada pelbagai ujian yang menatijahkan kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Kehidupan sementara yang serba indah menjadi medan utama bagi memastikan setiap amalan yang dilakukan mendapat rahmat Allah SWT seterusnya membawa ke tempat kekal abadi iaitu di syurga. 

Peringatan demi peringatan disampaikan oleh baginda Nabi SAW sebagai pedoman bagi manusia menghadapi hari mendatang dalam kehidupan. Di antara peringatan besar yang perlu untuk dilihat secara terperinci adalah jenis manusia yang tidak akan mencium bau syurga disebabkan amalan dilakukan bertentangan dengan syariat. Apakah amalan tersebut? 

1) Manusia yang sombong 

Orang yang sombong tidak akan dapat mencium bau syurga di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW: 

" Tidaklah seorang lelaki meninggal dunia dan ketika dia meninggal di dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar sebiji sawi, akan haram baginya mencium bau syurga atau melihatnya." (HR Ahmad). 

Menerusi hadis ini, sombong merujuk kepada mereka yang tidak dapat menerima kebenaran yang telah jelas di depan mata mereka bahkan meremehkan orang lain. Keadaan ini amat banyak berlaku dan masing-masing mempunyai hujah tersendiri. Natijahnya, golongan sengaja menyelewengkan fakta semata-mata untuk kepentingan diri sendiri adalah mereka yang sombong. 

2) Golongan yang mencari ilmu akhirat untuk duniawi 

Sememangnya menuntut ilmu akhirat itu dituntut dalam Islam agar menjadi bekalan untuk kita di pada hari kiamat. Namun, apa yang menyedihkan adalah tentang sikap sesetengah golongan yang menuntut ilmu akhirat untuk tujuan duniawi. Ini kerana ilmu yang dituntut itu tidaklah ikhlas melainkan untuk habuan mewah semata-mata. Golongan ini juga menurut Rasulullah SAW tidak akan mencium bau syurga. Baginda bersabda: 

"Barang siapa menuntut ilmu yang seharusnya untuk Allah, namun dia tidak menuntutnya kecuali untuk mencari dunia, maka pada hari kiamat dia tidak akan mendapatkan bau syurga." (HR Ibnu Majah). 

3) Golongan yang menisbatkan nasab bukan kepada ayahnya 

Manusia akhir zaman amat mudah melupakan jasa sosok tubuh yang digelar ayah. Apabila berdepan dengan situasi yang tidak mencerminkan kehidupan sebenar, mereka sanggup menasabkan diri mereka kepada ayah yang lain semata-mata ingin menampakkan kehebatan, kecerdikan dan kemewahan. Hakikat nasab sesuatu yang sangat dijaga. Seseorang yang mengaku sebagai anak orang lain atau tidak mengakui ayahnya sendiri akan mendapat ancaman iaitu tidak akan mencium bau syurga. Islam melarang umatnya menisbatkan nama kepada nama orang lain. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: 

"Barang siapa yang mengaku memiliki hubungan nasab kepada selain ayahnya, maka syurga menjadi haram baginya, padahal bau syurga dapat dicium sepanjang jarak perjalanan lima ratus tahun." (HR Ibnu Majah). 

4) Wanita yang berpakaian tetapi telanjang 

Perkara ini sudah dapat dilihat dengan jelas pada hari ini. Ramai di kalangan kaum hawa mengenakan pelbagai fesyen terkini tetapi tidak mengikut aturan syarak seorang Muslimah. Situasi ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: 

"Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian, tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat." (HR Imam Ahmad). 

5) Wanita yang minta cerai tanpa alasan 

Perceraian perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika ada perempuan yang meminta perceraian daripada suaminya tanpa mempunyai alasan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: 

"Seseorang wanita yang meminta cerai kepada suaminya bukan kerana kesalahan, maka haram baginya bau syurga." (HR Abu Daud). 

Justeru, sebagai umat Islam kita harus berwaspada terhadap setiap tingkah laku yang kita buat agar tidak tergolong dalam golongan di atas. Jadilah seorang Mukmin sejati yang sentiasa mengikuti perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW supaya kita mendapat ganjaran syurga yang diidamkan. Firman Allah SWT: 

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (QS Ali Imran:133) 

Sumber: Harian Metro (28 Julai 2022)


 

Comments