Bersikap lemah lembut atau bersopan-santun bukan setakat adab yang diterapkan dalam hidup kita sebagai masyarakat Timur, tetapi juga ia diterapkan di dalam ajaran agama Islam di mana setiap umat Islam mestilah mengamalkan amalan lemah lembut atau bersopan santun sesama manusia. Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais:
"Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (sabar)." (HR Tirmidzi).
Beradab sopan dan berlemah lembut bukan sesuatu yang baharu dalam Islam. Malah, perintah mengamalkan sikap bersopan santun dan berlemah lembut dalam berbicara dan tutur kata harian sudah dijelaskan oleh Allah SWT dalam kitabNya, al-Quran menerusi Surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:
" Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
Namun, dalam kita bersopan-santun dan berlemah lembut sesama umat manusia dan sesama Muslim, kita juga haruslah mempunyai sikap berhati-hati iaitu sabar. Menurut Said bin Ali Al-Qattani, Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara dua sifat negatif (marah dan hina). Manakala Al - Anah - Sifat Berhati-hati (sabar) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.
Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap. Allah SWT mengajar kita supaya menggunakan perkataan yang baik lagi mulia apabila berkomunikasi dan bergaul sesama manusia agar tidak menyakiti perasaan mereka.
Justeru, kita haruslah memiliki sifat al-hilm (lemah lembut atau bersopan santun) iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Di samping itu, kita juga perlu berusaha supaya memiliki sifat al-Anah iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.
Sumber: Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment