HATI KECEWA, SEDIH DAN KOSONG? RAWATILAH DENGAN MEMPERBANYAKKAN ZIKRULLAH AGAR HATI SENTIASA TENANG

 



Pernah atau tidak kita merasa hati kita terlalu kosong, sedih dan kecewa serta tidak tenteram? Itu adalah perkara normal yang dilalui oleh stiap manusia. Dalam Islam, amalan yang bernilai besar di sisi Allah SWT adalah apabila amalan itu dilakukan terdapat perjuangan untuk menundukkan hawa nafsu. Salah satu amalan yang boleh dilakukan di kala hati kita merasa kosong ataupun tidak tenteram adalah amalan zikrullah. 


Zikrullah adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun. Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan ini, apatah lagi ia adalah arahan Allah SWT dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat (kelebihan). Terdapat banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan umat Islam agar memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Antaranya Allah SWT berfirman:


“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.” (QS al-Ahzab: 41).


Selain itu, Rasulullah SAW turut bersabda dengan mafhumnya:


“Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (HR Bukhari).


Zikrullah adalah satu ibadat yang agung. Dengan mengingati Allah SWT, seseorang hamba akan mendekatkan dirinya kepada Allah dan mengisi masa dengan perkara yang sangat bermanfaat. Ketika hati sedang dilanda gundah dan gulana, percayalah bahawa Allah SWT mahu kita selalu mengingatinya dengan cara berzikir. Ambillah masa duduk bersama-sama orang yang berzikir kepada Allah SWT dengan cara mengucapkan tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (la ila ha illallah), dan istighfar (astaghfirullah). Firman Allah SWT:


“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (QS ar-Ra’d: 28).


Ketahuilah, di kala kita merasa jiwa sedang kosong, sedih, kecewa dan tidak tenteram, zikir adalah jawapan yang tepat untuk memulihkan hati dan perasaan kita. Rawatilah hati kita dengan zikrullah agar merasa tenteram. Rebutlah peluang memperbanyakkan diri berada di tempat sedemikian nescaya kita akan memperoleh ketenangan. Manusia yang sentiasa mengingati Allah SWT akan beroleh keuntungan abadi di dunia dan akhirat. Mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan zikir akan mendapat penghormatan tinggi serta rahmat daripada Allah SWT.


Sumber: Berita Harian (24 Jun 2016)

Comments