ISU MENYERUPAI ATAU MENGUBAH JANTINA USAH MENGUBAH FITRAH KEJADIAN YANG TELAH DITAKDIRKAN KERANA IA PERBUATAN YANG AMAT DILARANG DALAM ISLAM DAN DILAKNATI OLEH ALLAH SWT


Sejak kebelakangan ini, banyak isu-isu akhlak yang terjadi di kalangan umat Islam negara ini. Antara yang mencuri tumpuan adalah tentang seorang ‘pengkid’ yang pergi menunaikan umrah di Mekah dalam keadaan berihram. Isu menyerupai atau mengubah jantina seperti wanita kepada lelaki mahupun lelaki kepada wanita merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang terikut dengan sebahagian budaya dan amalan songsang Barat yang sanggup mengubah jantina semata-mata memenuhi kepuasan nafsu tanpa melihat kepada ketetapan hukum Islam. Firman Allah SWT:


 "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (QS At – Tiin: 4).


Sementara dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah bersabda: 


"Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki." (QS Bukhari).


Agama Islam sangat memandang serius perbuatan seseorang yang dianggap menyalahi dan melanggari fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan Allah SWT. Sebagai Muslim kita seharusnya mengambil perhatian serius terhadap isu ini memandangkan jika tidak dicegah dan dibanteras ia akan menjadi satu amalan budaya yang songsang dalam masyarakat. Lebih parah apabila hal ini dipandang satu perkara yang biasa bagi golongan yang mahu menukar jantina. Menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menegur dan memberikan nasihat sokongan kepada golongan tersebut supaya tidak bertindak dengan lebih melampau sehingga mengotorkan pandangan masyarakat terhadap kemurniaan ajaran Islam. 


Justeru sebagai seorang Mukmin sepatutnya memelihara dan menerima kejadian yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada manusia. Kejadian manusia merupakan kejadian yang terbaik yang diciptakan Tuhan buat manusia maka janganlah dilakukan perubahan terhadap ciptaan Tuhan bagi memenuhi desakan hawa nafsu semata-mata. Kembali ke jalan yang diredai Allah SWT dan bertaubatlah. Usah melawan fitrah kejadian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ingat, masih ada ruang untuk berubah kembali kepada fitrah kejadian yang asal. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT dan sentiasa diberikan petunjukNya.


Sumber: Harian Metro (17 Ogos 2022)

Comments