JADILAH ORANG YANG PALING BAIK KEPADA AHLI KELUARGA AGAR MENDAPAT KECINTAAN DAN RAHMAT DARI ALLAH SWT
Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk adalah manusia yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya. Oleh itu, jadilah kehadiran kita di tengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain." (HR Ibn Hibban).
Namun, dalam kita menjadi manusia yang baik dan berbuat baik kepada orang lain, alangkah eloknya jika kita juga menjadi manusia yang baik kepada ahli keluarga sendiri kerana Rasulullah SAW bersabda:
Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan membicarakan keburukannya).” (HR Tirmidzi).
Apabila kita menjadi manusia yang baik, pastikan kita berbuat baik kepada keluarga terlebih dahulu dan kemudian barulah masyarakat dan orang lain. Keluarga perlu diutamakan kerana ia akan lebih mengeratkan silaturahim di antara keluarga dan menambahkan lagi kasih sayang di antara satu sama lain. Keluarga adalah perkara utama dalam membina masyarakat harmoni dan berkasih sayang. Keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan berakhlak mulia. Oleh itu, dalam melakukan kebaikan, ahli keluarga adalah kelompok utama yang perlu diberi perhatian.
Sementara itu, perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia. Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak. Justeru, sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya. Perkara utama dalam menjaga kebajikan ahli keluarga adalah dengan menasihati, mengajar dan membimbing mereka supaya mengetahui secara jelas perintah serta larangan Allah SWT. seterusnya mentaati perintah itu sebagai usaha berterusan untuk selamat daripada azab neraka.
Dalam kita berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarga, maka Rasulullah SAW adalah merupakan contoh yang paling baik kerana Rasulullah SAW adalah model terbaik dalam membina keluarga, seterusnya membina masyarakat dan ummah yang mempunyai keperibadian mulia. Baginda SAW adalah seorang yang begitu sayang kepada ahli keluarga. Baginda SAW bukan sahaja mengharapkan kebaikan pada dirinya, bahkan mengharapkan kebaikan untuk ahli keluarganya.
Oleh itu, marilah kita semua menginsafi bahawa setiap daripada kita membawa obor Islam yang diamanahkan oleh Allah menerusi nikmatNya untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Jadilah manusia yang terbaik buat keluarga dan masyarakat bagi mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.
Sumber: Harian Metro (1 Ogos 2022)
Comments
Post a Comment