KENAPA BERSIFAT 'KIBIR' (MENDABIK DADA MENYOMBONG DIRI)? JAUHILAH SIFAT 'KIBIR' KERANA IA SIFAT TERCELA YANG AKAN MEMBINASAKAN KEHIDUPAN DI DUNIA MAHUPUN DI AKHIRAT
Setiap manusia di muka bumi ini pasti akan merasa bangga apabila dapat mencapai sesuatu kejayaan. Namun, saat dipuji dengan kejayaan, pasti sebilangan daripada kita berakhir dengan keangkuhan dan mendabik dada. Sifat 'kibir' ini tidak seharusnya ada dalam diri setiap manusia lebih-lebih lagi kepada seorang umat Islam. Ia adalah sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong." (QS An – Nahl: 23).
Kehidupan di dunia ini hanya datang sekali. Baik buruk seorang manusia, akan dinilai melalui semua perilaku dan perbuatannya di alam fana ini. Sama ada baik atau buruk, bergantung kepada apa yang diusahakan mereka setiap hari. Ini termasuk akhlak dan peribadi, sikap dan tingkah laku. Antara perkara yang selalu membezakan seorang individu dengan individu yang lain ialah adakah tawaduk atau takbur seseorang itu dalam melayari hidupnya. Tak kira kepada dirinya, pasangannya, keluarganya atau orang sekelilingnya.
Hidup di dunia ini kita tidak akan selamanya kekal di atas. Hidup ini ibarat roda yang kadangkala kita akan merasa juga duduk di bawah. Jadi, mengapa kita perlu mendabik dada dan angkuh? Sentiasalah tawaduk dan merendah diri dalam semua perkara. Orang yang mengamalkan sikap sombong dan angkuh akan mengundang rasa benci di kalangan masyarakat dan akan di pulau oleh semua pihak. Janganlah kita menjadi seperti iblis yang terlalu angkuh dan sombong hingga melanggar perintah Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam A.S.
Buanglah sifat 'kibir' dalam hati kita agar hidup lebih berjaya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Jangan terlalu angkuh, sombong dan mendabik dada dalam kebahagiaan dan kejayaan hidup kita kerana semua itu adalah atas izin Allah SWT. Siapa kita untuk terlalu sombong denganNya kerana setiap rezeki dan nikmat yg kita kecapi hari ini adalah atas pemberian Allah SWT. Ingat, jangan terlalu mendabik dada dan sombong kerana Allah SWT sangat murka dengan para hambaNya yang bersikap sedemikian. Sabda Rasulullah SAW:
"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim).
Sumber: Harian Metro (26 April 2021)
Comments
Post a Comment