PRIHATIN TERHADAP JIRAN TUNTUTAN IMAN - TIDAK SEMPURNA IMAN SEORANG MUSLIM JIKA TIDAK PRIHATIN KEPADA JIRANNYA
Adat hidup bermasyarakat mestilah kita akan dikelilingi oleh jiran tetangga di persekitaran kita. Ikut logik, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil berat akan kebajikan mereka. sebagai contoh, apabila mendapat perkhabaran bahawa ada jiran kita yang sakit, maka menjadi kewajipan kita untuk menziarahi mereka. Menjaga keselamatan persekitaran mereka dan bantu membantu. Sama halnya juga ketika mereka sedang susah atau kelaparan maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memenuhkan perut mereka. Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (HR At – Thabrani).
Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa antara bukti keimanan seseorang adalah apabila dirinya memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jirannya. Sudah terang lagi bersuluh, seseorang itu tidak beriman seandainya dirinya tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan ada tetangganya yang kelaparan. Bagaimana kita boleh mengatakan diri kita seorang umat Islam yang beriman sedangkan kita membiarkan jiran-jiran kita hidup susah? Sedangkan Rasulullah SAW sendiri begitu menitikberatkan supaya umatnya mengambil berat tentang keberadaan jiran tetangga agar jangan sampai ada yang kelaparan kerana kesusahan yang menimpa mereka. Sekiranya didapati ada jiran kita dalam kesusahan, kelaparan dan kesempitan, kita perlu mendahulukan pertolongan kepada mereka kerana kita merupakan insan yang paling hampir.
Oleh sebab itu, Allah SWT menyuruh kita berlaku ihsan dengan sesama makhluk. Jangan sampai kita sanggup mengambil sikap acuh tak acuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Allah sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” (HR Muslim).
Sungguh, begitu cantik aturan yang diajarkan oleh agama Islam kepada penganutnya supaya memelihara hubungan sesama manusia dan memelihara nilai-nilai luhur dalam kehidupan. Meskipun kebanyakan daripada kita ‘berkurung’ di rumah sebaik urusan di luar selesai, namun adab-adab berjiran masih perlu dititikberatkan. Justeru, marilah kita menjadi seorang jiran yang cakna dan selalu membantu serta memberi manfaat kepada orang lain. Semoga asbab kebajikan yang dilakukan akan menjadikan kita seorang mukmin yang sejati dan mendapat ganjaran di sisi-Nya.
Sumber: Sinar Islam Plus @ Sinar Harian (30 Jun 2021)
Comments
Post a Comment