SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-65 UKHUWAH TUNTUTAN IMAN - PERKUKUHKANLAH SAMA ADA SESAMA MUSLIM DAN NON-MUSLIM DEMI KEHARMONIAN NEGARA

 

Sejak kebelakangan ini, ukhuwah dan permuafakatan di kalangan rakyat Malaysia semakin memudar dan tiada serinya lagi. Masakan tidak, setiap hari ada sahaja pelbagai perkara yang diadu – dombakan hingga menimbulkan perseteruan di kalangan rakyat yang mengakibatkan banyaknya perpecahan yang berlaku. Negara kita sudah memasuki usia ke -65 tahun, mengapa ada lagi yang masih berfikiran jumud dan menggalakkan perseteruan? Sepatutnya semakin meningkatnya usia, semakin matang dalam menghadapi badai dan rintangan. Rasulullah SAW bersabda:


“Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian hingga ia mencintai untuk saudaranya segala apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri berupa kebaikan.” (HR Bukhari dan Muslim).


Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menitikberatkan ukhuwah dan perpaduan di kalangan sesama penduduk di negara ini. Kita hidup berbilang bangsa dan majmuk serta penuh dengan pelbagai diversiti sepatutnya meraikan kepelbagaian asalkan tidak melanggar batas dan syariat agama. Sabda Rasulullah SAW:


“Barang siapa ingin dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah ia mati dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari Akhir, dan hendaklah ia menunaikan dan berbuat (kebaikan) kepada orang lain apa yang ia senang bila orang lain (berbuat baik) kepadanya”. (HR Muslim).


Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang. Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke – 65 ini, marilah kita memperkukuhkan kembali ukhuwah sesama rakyat di negara ini baik sesama Muslim ataupun sesama bukan Islam. Ini kerana perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia terbentuk di dalam satu rukun keharmonian dan permuafakatan yang erat. 


Jangan termakan dengan provokasi sesetengah pihak yang ingin memecahbelahkan muafakat rakyat Malaysia yang sudah terjalin sejak bertahun lamanya. Ingat, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!


“Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”


Sumber: Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Comments