SENTIASALAH MENGINGATI ALLAH SWT DALAM KEADAAN SENANG MAHUPUN SUSAH AGAR HATI MENJADI TENANG

 


Hidup kita di atas muka bumi ini semuanya sudah ditentukan oleh Allah SWT. Bermula dari saat kelahiran sehinggalah pada saat kematian kita, semua telah ditetapkan di Luh Mahfuz Allah SWT. Lantas, atas alasan apa untuk kita lupa kepadaNya? Memang tidak dapat dinafikan, setiap manusia tidak terlepas daripada mengalami tekanan kerana ia merupakan asam garam dalam kehidupan. Hal ini telah pun dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al – Quran surah al – Baqarah, ayat 155 yang bermaksud:


"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar."


Allah SWT menimpakan kesusahan dan ujian buat hambaNya untuk meningkatkan lagi keimanan dan kualiti kehidupan kita sebagai umat Islam. Allah SWT tidak mahu kita terlalu leka dengan godaan dunia sehingga kita terlupa di mana tempat kita akan kembali, iaitu hari akhirat. Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah, iaitu keimanan kepada qada dan qadar. Keimanan ini akan mendorong seseorang itu tabah menghadapi segalanya dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa sesungguhnya sesuatu itu datang daripada Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT. Ujian Allah SWT yang dihadapi itu, hendaklah ditangani dengan positif agar ia dapat memberi kebaikan kepada semua.


Di dalam Islam, semakin besar tekanan yang dihadapi, maka semakin besarlah pahala dan ganjarannya di sisi Allah SWT. Apa yang penting ialah menghadapinya dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi demi mencari ketenangan dan keredaan daripada Allah SWT. Begitu juga sebaliknya, apabila kita berada di suatu tahap yang kita sedang bahagia dan menikmati keseronokan hidup, kita juga harus tidak melupakan Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat menikmati kebahagiaan itu.


Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT di mana sahaja kita berada, tidak kira sama ada dalam keadaan senang mahupun susah. Mengingati Allah akan memperolehi keuntungan abadi di dunia dan akhirat. Mereka yang sentiasa membasahi lidah dengan zikir akan mendapat penghormatan  tinggi serta rahmat daripada Allah SWT di akhirat kelak. Malah, ketika hidup di dunia, mereka yang sentiasa berzikir mengingati Allah SWT, perasaan jiwa atau hati akan menjadi tenang walau apa cabaran yang mendatangi hidup mereka. Allah SWT berfirman:


"Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram." (QS ar-Ra'd:28).


Ketahuilah bahawa Allah SWT sahajalah yang Maha Berkuasa mengaturkan kehidupan kita. Oleh itu, kepadaNyalah kita berserah dan minta pertolongan. Bagi memperolehi rahmat Allah SWT, hendaklah kita sentiasa mengingati Allah SWT serta rajin-rajin membasahkan bibir dengan zikrullah. Sehubungan itu, Rasulullah SAW mengajarkan doa khusus kepada Muaz bin Jabal supaya memohon kepada Allah agar sentiasa mengingatiNya, sebagaimana dalam hadis yang bermaksud:


Dari Muadz R.A, bahawa Rasulullah SAW menarikku dengan tangannya lalu bersabda:


“Wahai Muadz! Demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu lalu aku berwasiat kepadamu. Wahai Muadz, jangan tinggalkan setelah setiap akhir solat engkau membaca:


“Ya Allah, jadikan aku selalu mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan bagus dalam beribadah kepadaMu.” (HR Abu Daud dan An – Nasa’i).


Ingatlah, setiap manusia akan diuji bagi mengenal pasti mereka yang layak menghuni syurga Allah SWT. Oleh itu, umat Islam mestilah bersedia untuk menghadapi tekanan sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Semoga tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi itu akan lebih memantapkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan jiwa menjadi tenang. 


Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB).

Comments