SINGAPURA MENGIKTIRAF LGBT!!! BERWASPADALAH KERANA TINDAKAN TERSEBUT BOLEH MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN DAN PENULARAN LGBT DI NEGARA INI

 

Dalam keadaan sedar mahupun tidak, umat Islam hari ini khususnya di Malaysia sedang berhadapan dengan ancaman daripada penularan idea liberal yang semakin merebak meresapi pemikiran. Kelompok yang mendukung fahaman liberal juga semakin mendapat tempat dalam dunia Islam. 

Pada masa yang sama juga, terdapat segelintir pihak yang tidak menyedari bahawa mereka turut sama membawa dan menyuburkan lagi idea liberal tanpa melihat fahaman liberal tersebut sebenarnya adalah sebagai suatu bentuk ancaman yang mengundang malapetaka bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada seluruh manusia disebabkan oleh ideologinya yang berasaskan akal semata-mata telah terserap dalam segenap aturan kehidupan.

Sebagai contoh baru-baru ini 'jiran' Malaysia iaitu Singapura dikhabarkan telah diisytiharkan sebagai negara Asia yang mengiktiraf hak LGBT selain Thailand, India dan Taiwan. Walaupun kita sedia maklum bahawa Singapura bukan sebuah negara Islam dan sepatutnya tidak perlu diambil endah dengan tindakannya, namun sebaliknya Malaysia yang juga sebagai sebuah negara Asia perlu memandang serius memandangkan secara jelasnya ia melanggar fitrah kejadian manusia. 

Atas faktor hubungan diplomatik dan geografi Malaysia dan Singapura adalah dikhuatiri jika tidak dibendung penularan ideologi liberalisme tersebut akan berkembang dengan lebih cepat lagi. Kesannya, pengaruh pemikiran liberal yang berasaskan akal semata-mata tanpa mendahului garis pandu agama akan menjadi asas utama dalam pembuatan keputusan bagi setiap sistem sama ada sistem pentadbiran negara, sistem sosial dan agama, yang akhirnya akan merosakkan seluruh kehidupan beragama dalam masyarakat.

Ideologi liberal dilihat bergerak begitu pantas sehingga berjaya merentasi segenap lapisan masyarakat.  Bahkan sebahagian besar idea-idea liberal telahpun diterima oleh masyarakat sebagai norma kemanusiaan. Manakala sebahagian yang lain pula cuba diselitkan agar dapat diterima sebagai nilai-nilai sejagat yang mencorakkan aturan kehidupan.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre dan Astro Awani- 21 OGOS 2022


Comments