TANDA IMAN YANG ROSAK DAN HATI YANG MATI!!! BERBANGGA MELAKUKAN DOSA SAMBIL MEMPROMOSIKAN PERBUATAN DOSANYA KEPADA KHALAYAK RAMAI - BERTAUBATLAH!!!

 

Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dalam kehidupan. Ada kalanya manusia tergelincir melakukan kesalahan sehingga mendapat dosa kerana tewas dengan godaan syaitan. Syaitan tidak boleh dipersalahkan kerana dia memang telah berjanji dengan Allah SWT untuk menyesatkan seluruh manusia. Namun, manusia perlu menyalahkan diri mereka sendiri kerana boleh terjebak melakukan perbuatan dosa akibat mengikut hawa nafsu jahat dalam diri mereka. Manusia secara fitrahnya lebih cenderung menyembunyikan perlakuan dosa dan maksiat daripada pengetahuan orang lain kerana diberikan perasaan malu.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian di kalangan manusia ini wujud dengan menzahirkan sokongan terhadap perkara dosa dan maksiat menunjukkan realiti ummah yang sedang mengalami sakit 'iman dan hati yang sakit atau mati' pada hari ini. Malah, ada yang bangga mempromosikan cara mereka melakukan dosa di laman media sosial seperti yang kita lihat pada hari ini. Hari ini, sebahagian besar manusia khususnya Muslim sudah tidak malu lagi mempamerkan perlakuan dosa mereka, ia bererti fitrah dan iman mereka sudah rosak. Firman Allah SWT:

"…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS al – Yusuf: 53).

Orang yang berani menzahirkan kemaksiatan diselubungi dengan pemikiran keliru kerana jahil atau rosak imannya sehingga menyangkakan tidak salah untuk mempamerkan perbuatan dosa terbabit. Gejala berbangga dengan dosa dan suka mendedahkan maksiat sendiri ialah petunjuk bahawa hatinya telah mati dan imannya telah hilang dari hatinya. Perbuatan membanggakan maksiat dan dosa yang dilakukan merupakan perbuatan yang sangat dibenci dan mendapat kemurkaan Allah SWT terhadap seseorang hambaNya. Sesiapa dengan sengaja menzahirkan maksiat yang dilakukan diri sendiri atau dengan bangga menceritakan dosa mereka kepada orang lain, maka akan mendapat kemurkaan Allah SWT.  Mereka (dengan sebab berbangga dengan perbuatan dosa dan membuka aib sendiri), maka Allah SWT tidak menutup keaiban mereka (iaitu keaiban mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat). Bahkan dengan menunjukkan perbuatan dosa yang dilakukan itu, bermakna Allah SWT telah mencabut rasa malu daripada diri mereka hingga mereka menjadi hina kerana tidak berasa segan silu lagi untuk mendedahkan keaiban diri. Perbuatan berbangga dengan dosa yang dilakukan dan membuka aib sendiri tersebut adalah perbuatan yang terkutuk yang tidak akan mendapat pengampunan dari Allah SWT kecuali bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Keadaan manusia yang terjebak dalam dosa dan kesalahan menunjukkan kelemahan diri yang gagal mematuhi perintah Tuhannya. Namun, itulah sifat hamba yang sepatutnya mendambakan keampunan daripada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dialah Tuhan yang memiliki segala kesempurnaan termasuk dalam memberi pengampunan kepada sesiapa juga hamba yang kembali bertaubat kepadaNya.

Rahmat Allah SWT Maha Luas untuk mengampuni sesiapa sahaja hambaNya yang melakukan dosa dan  ingin kembali kepadaNya. Oleh itu, bertaubatlah dengan segera sebelum nyawa sampai di kerongkongan (di saat nyawa hendak dicabut oleh Malaikalmaut) di mana taubat sudah tidak lagi diterima oleh Allah SWT. Justeru, janganlah berbangga bila berbuat dosa dan bertindak menayangkannya kepada orang lain kerana ia akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya. Setiap umat Islam perlu sedar bahawa jika diri terjebak dalam dosa maka menjadi satu kewajipan ke atasnya untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT sangat mengasihi dan menyayangi hambaNya yang bertaubat dan kembali ke jalan yang sebenar.  Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

"… Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat …" (QS Al – Baqarah: 222).

Sumber: Berita Harian, 18 Mac, 2019.


Comments