TERTIPU DENGAN AJARAN TAREKAT AL-NAQSYABANDIAH AL-KHALIDIYYAH - SANGGUP MENGGADAI HARTA DAN NYAWA KERANA INGIN MENYERTAI IMAM MAHDI YANG AKAN MUNCUL DI MEKAH - KENAPA PERCAYA DENGAN AJARAN KARUT INI?

 

Tarekat merupakan salah satu amalan kerohanian yang melibatkan pelbagai cara atau amalan sama ada melalui zikir dan ibadah tertentu untuk membentuk sahsiah seseorang yang beragama Islam dan mempunyai matlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh sebab itu, pada asasnya seseorang yang beragama Islam yang mengamalkan tarekat tertentu itu adalah tidak salah dan dikatakan adalah lebih baik atas asbab mencapai matlamat yang disebutkan. 

Namun begitu, seseorang yang mengamalkan tarekat perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam terutamanya dalam perkara-perkara berhubung dengan tasawwuf supaya pengamalannya tidak tersesat dan diterima oleh Allah. Sekiranya tidak, maka ia akan menimbulkan kekeliruan dan seterusnya boleh memesongkan akidah seseorang yang mengamalkannya.

Sebagai contoh dalam ajaran sesat Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah yang diasaskan oleh Habib Shah Firdaus. Sempena peristiwa Hari Arafah baru-baru ini, tok guru tarekat ini telah menjanjikan kemunculan Imam Mahdi di Mekah kepada pengikutnya. Oleh sebab itu, atas rasa percaya kepada tok gurunya dan keyakinan yang teguh terhadap ajaran tersebut, para pengikut ajaran ini sanggup bergadai aset masing-masing seperti tanah, kereta dan barang berharga lain semata-mata untuk bertemu dengan Imam Mahdi di Mekah.

Bukan itu sahaja, kewujudan markas tarekat ini yang didakwa beroperasi di Kampung Jawa, Labu, Negeri Sembilan ini menunjukkan bahawa pengikutnya bukan hanya seorang dua, malah telah mencapai angka ratusan orang. Sedangkan sebelum ini telah banyak isu-isu ajaran sesat terutamanya yang berkaitan dengan kemunculan Imam Mahdi didedahkan sama ada oleh pihak media atau oleh para netizen di sosial media, namun mengapa masih ada lagi yang percaya dengan dakwaan karut ini?

Modus operandi Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah ini pun terbongkar susulan pengikutnya membuat aduan tertipu dengan dakwaan kemunculan Imam Mahdi di Mekah setelah harta tergadai bagi menampung kos perjalanan ke Mekah. Difahamankan juga, pengasasnya Habib Shah Firdaus dipercayai masih berada di Mekah dan masih tidak pulang ke tanah air bersama 100 orang pengikut tegarnya mungkin dek kerana modus operandinya telah terbongkar.

Berdasarkan daripada kenyataan ini, suka diingatkan kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia, janganlah mudah percaya dengan perkara-perkara yang meragukan seperti kemunculan Imam Mahdi ini. Memang benar kemunculan Imam Mahdi itu pasti, namun kajilah al-Quran sebaiknya supaya tahu tanda-tanda yang betul dan seterusnya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia dan Kertas Seminar, 3rd International Seminar on Islamic Thought, UKM


Comments