BERHATI-HATILAH!!! JANGAN TERTIPU DENGAN KONSEP KEBEBASAN TANPA HAD YANG DIUAR-UARKAN OLEH GOLONGAN LIBERAL KERANA IA AKAN MENJERUMUSKAN KE LEMBAH KESESATAN

 

Liberalisme ialah suatu idea yang memperjuangkan kebebasan individu dan kesamarataan individu-individu dalam masyarakat. Secara bahasanya, liberal bermakna bebas, bertoleransi, berfikiran luas, terbuka, pemurah, tidak ketat atau tepat dan tidak harfiah. Sebagai suatu konsep, teras kepada idea liberalisme ialah keprihatinan dalam melindungi dan menggalakkan kebebasan dan autonomi individu, dalam konteks penentangan terhadap pihak lain sama ada negara, masyarakat atau individu lain yang mengganggu kebebasan dan autonomi dalam segala aspek ini.

Wacana liberalisme mencakupi hampir seluruh aspek kehidupan manusia, terutamanya sosial, budaya, politik, pendidikan, ekonomi dan agama, tetapi kelihatannya lebih menumpu kepada ruang politik. Begitu pun, idea liberalisme turut mempengaruhi isu keagamaan secara mendalam, dengan adanya ideal metafizik, nilai dan moral yang melatari idea liberalisme

Terdapat tiga bentuk kebebasan yang memperlihatkan keluasan ruang rangkuman wacana liberalisme. Pertamanya adalah kebebasan sosial, politik dan ekonomi. Konsep kebebasan ini merujuk kepada ketiadaan undang-undang atau perjanjian yang menghalang seseorang melakukan sesuatu. Selain itu, sekatan dengan adanya monopoli juga menghadkan pilihan seseorang untuk memilih dan bertindak.

Keduanya adalah kebebasan psikologi yang merujuk kepada konsep kehendak manusia yang diandaikan bebas daripada ‘iradat’, ‘kudrat’ dan ilmu Tuhan (qadariyyah, free will). Ketiganya adalah kebebasan moral apabila adanya kepercayaan bahawa seseorang boleh melakukan apa sahaja tanpa balasan dosa. 

Berikutan itu, liberalisme dalam konteks agama atau liberalisme agama boleh dirumuskan sebagai pemikiran yang ingin melonggarkan kepercayaan keagamaan. Ini bermaksud hubungan antara alam termasuk manusia dengan Tuhan perlu dibebaskan daripada kongkongan wahyu. Untuk tujuan itu, golongan liberal dalam agama telah menerima perubahan, malah cuba menghapuskan ajaran-ajaran tradisi agama agar hubungan Tuhan dengan manusia dan alam dapat ditafsirkan semula dalam bentuk yang lebih terbuka. Sebilangan Muslim nampaknya menerima pendekatan liberal ini dalam memahami Islam, sepertimana yang kita dapat lihat dalam kalangan golongan-golongan professional seperti ahli politik, akademik dan  beberapa NGO yang memperjuangkan ideologi liberalisme seperti Sistem In Islam, G25 dan lain-lain lagi.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 40 -UPM


Comments