BERTAQARRUBLAH (MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT) DENGAN MELAKSANAKAN AMALAN SUNNAH SELEPAS AMALAN WAJIB DEMI MERAIH CINTA ALLAH SWT
Apa yang dimaksudkan dengan taqarrub kepada Allah SWT? Ia adalah sesuatu amalan yang dapat mendekatkan seorang hamba kepada Allah SWT baik dengan melaksanakan amalan-amalan yang wajib, amalan-amalan sunnah mahupun bentuk-bentuk ketaatan lainnya. Pengertian taqarrub kepada Allah tidak hanya terbatas pada ibadah khusus sahaja, tetapi ia mencakupi keseluruhan perkara seperti muamalat, akhlak, 'math’umat' (berkaitan dengan makanan), 'malbusaat' (berkaitan dengan pakaian) bahkan 'uqubat' (pelaksanaan hukum di dunia oleh negara Islam/ Khilafah). Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:
“Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih aku cintai daripada melaksanakan apa yang Aku wajibkan kepadanya; tidaklah hamba-Ku terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan nafilah-nafilah (nawâfil) hingga aku mencintainya.” (HR al-Bukhari & Muslim).
Allah SWT bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah SWT dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah SWT sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah SWT akan sentiasa mengingati hambaNya. Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah SWT akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.
Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah SWT dengan berjalan, nescaya Allah SWT akan mendatanginya lebih cepat daripada itu. Firman Allah SWT:
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku”. (QS Al – Baqarah: 152).
Oleh itu, sebagai Muslim yang taat akan perintah agamanya, kita mestilah sentiasa memastikan diri kita sentiasa bertaqarrub dengan Allah SWT dalam apa jua keadaan. Sama ada dari segi ibadah khusus mahupun dengan melakukan ketaatan kepada Allah yang lain dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan cara ini barulah kita dilihat sebagai seorang Muslim yang baik dan sentiasa taat akan perintah Tuhannya.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Comments
Post a Comment