INGAT PESAN RASULULLAH SAW!!! HENTIKANLAH PERMUSUHAN SESAMA ISLAM DAN JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA
Sememangnya zaman ini, ramai di kalangan manusia yang lebih sukakan permusuhan berbanding persaudaraan. Bukankah di dalam Islam itu telah diajarkan bahawa setiap Muslim itu bersaudara? Mengapa harus adanya permusuhan sesama Muslim yang akan memporak-perandakan lagi ukhuwah dan ikatan sesama Islam? Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (QS Al – Hujurat: 10).
Dalam Islam kita telah diajarkan tentang apa itu sifat berkasih sayang antara sesama Muslim kerana kita ini sudah dikira saudara seiman. Allah SWT dan Rasulullah SAW sangat melarang umatnya saling membenci di antara satu sama lain dan berselisih faham kerana itu boleh menyebabkan perpecahan di dalam ukhuwah Islamiyyah. Ketahuilah, syaitan itu sangat suka apabila umat Islam berpecah belah dan saling bermusuhan. Ia tidak akan pernah berhenti menyesatkan kita dalam pelbagai cara seperti hasad dengki, prasangka buruk dan saling membenci.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
"Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari).
Justeru, janganlah kita bermusuhan sesama Muslim kerana perkara itu sangat ditegah dalam agama Islam. Islam juga tidak mengajarkan kita untuk berprasangka buruk terhadap orang lain, mencari-cari isu atau kelemahan orang lain hatta saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Jika terdapat sebarang kekurangan hendaklah kita berdiam diri namun sekiranya berlaku kemungkaran di hadapan mata kita, perlulah dicegah atau dinasihati. Rasulullah SAW menyuruh kita agar meninggalkan perkara perkara yang boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan, melarang kita daripada memutuskan hubungann silaturrahim serta menyuruh kita agar menjadi manusia yang bersaudara, terbit daripada kita perasaan kasih sayang, tolong menolong dan membahagiakan orang lain.
Membangunkan tali persaudaraan boleh sahaja dimulakan dengan sikap husnudzon atau berbaik sangka terhadap sesama Muslim, dimana ia perlu dipandang sesuatu dengan positif, ramah, tidak menghakimi orang lain dan selalu menyapa dengan salam. Semua Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim. Menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.
Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)
Comments
Post a Comment