JAUHI 'SU'UDZON' (BERBURUK SANGKA) DAN JANGAN MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN KERANA IA ADALAH PERBUATAN YANG SANGAT TERCELA DAN BERDOSA BESAR

 

Buruk sangka adalah salah satu sifat mazmumah manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati. Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat.

Di akhir zaman ini, ditambah pula dengan kepesatan teknologi dan pertumbuhan pelbagai laman sosial, manusia semakin galak menilai orang dan menjatuhkan hukum sesuka hati tanpa usul periksa. Asal ada sahaja “posting” yang tidak kena di mata mereka, maka golongan ‘netizen’ ini dengan mudah menuduh sesuatu perkara itu salah tanpa diketahui cerita yang sebenar. Zaman media sosial pada hari ini membuatkan untaian kata berbentuk cercaan, hinaan, kecaman dan mengadili orang lain mudah benar dilontarkan. Apatah lagi apabila melihat sedikit perlakuan sumbang atau apa sahaja yang tidak kena pada mata sendiri.

Setiap manusia mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran. Selain itu, mereka juga tidak lari daripada bersikap zalim, jahil, pelupa, berprasangka buruk dan sombong. Antara sikap yang sukar dikikis adalah berburuk sangka dengan sesama manusia. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam Al-Qur'an ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah.” (QS Al – Kahf: 54).

Bersangka buruk atau dalam bahasa Arabnya, su’udzan merupakan satu sifat tercela yang amat dilarang dalam Islam. Sikap itu wujud kerana rasa dengki, iri hati, tidak puas hati dan segala punca yang negatif. Apabila diluahkan, maka akan muncul tindakan seperti mencari kesalahan orang lain, memburukkan, mengadu domba dan akhirnya mendedahkan kelemahan dan aib seseorang. Bahkan, Allah SWT juga memerintahkan manusia untuk menjauhi perkara tersebut dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.” (QS Al – Hujurat: 12).

Malah, Rasulullah SAW pernah memberi amaran kepada golongan sebegitu. Daripada Abu Hurairah RA, baginda bersabda: 

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Imam al-Bukhari).

Oleh itu, sebagai umat Islam yang patuh akan suruhan agamanya, janganlah kita sesekali mengambil alih kerja tuhan dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum atas sifat buruk sangka kita terhadap manusia lainnya. Ingatlah, perbuatan itu tidak kena dengan amalan sebenar sebagai seorang Muslim. Ini kerana (pengertian) iman (sebenar-benarnya) adalah kita membenarkan dengan hati, bercakap dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Mudah kata, semuanya mesti berkait. Dalam kita mahu menegur orang yang buat silap, jangan pula kita buat kerja Tuhan. Sebaliknya, berdoalah agar kita kekal di atas jalan yang benar dan jangan keliru antara yang benar dan batil. 

Sumber: Sinar Harian (1 Oktober 2021).


Comments