JAUHILAH SIFAT HASAD DENGKI DAN SIFAT MARAH KERANA IA BOLEH MEMUTUSKAN UKHUWAH ISLAMIAH

 

Di akhir zaman ini, banyak sekali pertelingkahan dan sifat hasad dengki sering berlaku sesama manusia, hatta sesama Muslim juga sering berlaku hanya kerana hal yang remeh. Apa yang lebih menyedihkan, mereka berbangga melakukan perkara-perkara tersebut di media sosial. Benarlah seperti apa yang digambarkan oleh Rasulullah SAW bahawa umat akhir zaman tidak malu untuk melakukan dosa. Sabda Baginda SAW:

“Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka." Maka ada seseorang bertanya: Apakah kerana sedikitnya bilangan kami (kaum Muslimin). Baginda menjawab: Bahkan ramai tetapi mereka (umat Islam) pada masa itu ibarat buih-buih air (di lautan). Sungguh Allah mencabut rasa takut daripada dada musuh kamu dan menimpakan penyakit al-wahn. Seseorang bertanya: Apakah penyakit al-wahn itu ya Rasulullah. Baginda menjawab: Cinta dunia dan takutkan mati.” (HR Ahmad).

Perbuatan saling mendengki, marah hingga menyebabkan terputusnya ukhuwah sesama Muslim ini sangat dilarang oleh Islam. Bahkan, Allah SWT juga turut membencinya. Apabila wujudnya perasaan hasad dengki di dalam diri, maka jiwa tidak akan tenang dan tenteram hingga menimbulkan rasa amarah dalam diri masing-masing. Apabila amarah menguasai diri, segala jenis kebaikan tidak akan dipandang sebaliknya perasaan benci semakin membuak di dalam diri hingga akhirnya memutuskan ukhuwah sesama manusia. Hasad dengki, ‘penyakit’ mazmumah yang merbahaya di dalam kalangan Muslim pada hari ini. Bukankah Rasulullah SAW telah mengingatkan kita supaya menjauhi ‘penyakit’ hati tersebut? Rasulullah SAW bersabda:

 “Janganlah kalian saling berdengki, saling marah, dan jangan pula saling memutuskan hubungan satu sama lain. Tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara.” (HR Muslim). 

Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah menjauhi perasaan hasad dengki sesama Muslim yang lainnya. Elakkan dari berkelahi dan memarahi sesama Muslim. Setiap Muslim juga dilarang untuk memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim sesama Muslim yang lain.  Marilah kita berusaha menjaga ukhuwah sesama Muslim kerana orang Mukmin itu bersaudara. Ini kerana sifat dengki dan tidak boleh mengawal marah yang ada pada seseorang menjadi penyebab putusnya hubungan ukhuwah dan silaturrahim. 

Sumber: Koleksi Hadis Baharin Mesir, people@utm


Comments