NASIHAT SECARA BERHIKMAH, TEGUR BIAR BERADAB - AKHLAK YANG DIAJAR DALAM ISLAM UNTUK MENYAMPAIKAN NASIHAT DAN TEGURAN DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT


Amalan menasihati dan tegur – menegur sesama Muslim adalah amalan yang baik lagi disukai dalam Islam.  Islam sentiasa mengingatkan kita supaya sentiasa memberikan khidmat nasihat yang terbaik buat saudara seagama agar ia dapat memberikan kesan baik terhadap seseorang. Ajaran Islam menganjurkan agar umat manusia saling menegur dan menasihati antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya menegur dan menasihati adalah perbuatan yang terpuji dengan tujuan supaya menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada rasul-Nya, kepada pemimpin Muslimin dan Muslimin secara umum." (HR Muslim). 

Justeru, memberi nasihat yang baik adalah anjuran di dalam Islam. Setiap Muslim tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Sekiranya amalan saling menegur tidak dibudayakan dalam kehidupan, maka tiada tindakan pembetulan yang dilakukan, tiada usaha penambahbaikan, tiada agenda pembaharuan, bahkan kejahilan, kealpaan, kezaliman dan kesesatan dibiarkan berterusan. Kejatuhan beberapa pemerintahan pada zaman silam juga turut berpunca dari keengganan kelompok tertentu untuk berlapang dada dan berjiwa besar dalam mendengar saranan, nasihat dan teguran yang disampaikan oleh para ilmuan yang ikhlas dan jujur. Oleh iu, nasihat dan teguran mestilah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan pendekatan yang berhemah agar dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Dalam usaha memberikan khidmat nasihat yang terbaik buat saudara kita, sudah tentu beberapa perkara perlu dipertimbangkan apabila ingin memberikan nasihat. Pertama, seorang Muslim perlu menggunakan pendekatan yang berhikmah (bijaksana dan tepat) serta mengungkapkan tutur kata yang baik jika berhadapan secara bersemuka. Namun jika ingin memberikan nasihat di dalam media sosial ia perlu dilakukan dengan gaya bahasa yang sopan sebagai lambang keperibadian Muslim yang baik. Kedua, yang perlu bagi seseorang Muslim berhati-hati ketika memberikan nasihat ialah dengan tidak membuka aib saudaranya. Ini kerana Islam sangat memelihara aib dan kehormatan bagi setiap Muslim. 

Ketiga, yang perlu difikirkan sebelum memberi nasihat kepada saudara Muslim ialah memastikan bahawa ungkapan tutur kata secara berhadapan mahupun tulisan nasihat di media sosial dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim sesama Muslim tanpa menimbulkan kerisauan dan kegusaran kepada saudaranya. Seseorang yang diberikan nasihat berasa selamat dan sentiasa berlapang dada di dalam menerima nasihat saudaranya. Ini kerana jika tiga perkara tersebut diamalkan dengan baik semasa memberikan nasihat ia mampu meninggalkan kesan baik terhadap nasihat yang diberikan namun jika nasihat yang diberikan diiringi dengan kejian, makian, membuka aib, tutur bahasa yang kesat maka ia akan memberikan kesan yang buruk terhadap diri, emosi dan maruah seseorang. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

 "Seorang Muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (HR Bukhari).

Walaupun amalan saling menegur dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dipelihara. Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai jika perkara tersebut tidak didedahkan kepada pengetahuan umum, sebaliknya berikanlah nasihat dan teguran ketika bersendirian atau berada di tempat yang tertutup, dengan adab yang cermat bukan dengan perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan malu akibat teguran tersebut. Gunakanlah perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang lain serta berhati-hatilah dalam memilih perkataan yang sesuai agar kita tidak membuatkan orang lain merasa terhina dan rendah diri. Sampaikanlah nasihat dan teguran dengan fikiran yang rasional bukan dengan emosi yang tidak terkawal agar mengelakkan orang lain berkecil hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.

Sumber: Harian Metro (8 Januari 2022)

Comments