SEBARKAN KASIH SAYANG SESAMA MUSLIM DENGAN CARA MEMBERI SALAM KERANA IA ADALAH SATU BENTUK UKHUWAH TERINDAH YANG DIAJARKAN DALAM ISLAM

 

Ramai yang menyangka apabila tidak memberi salam, itu adalah perkara normal kerana manusia pada hari ini suka melakukan hal masing-masing dan itu bukanlah perkara yang luar biasa. Namun sebagai umat Islam, memberi salam itu adalah salah satu bentuk kekuatan ukhuwah sesama Muslim. Alangkah ruginya kita jika ramah namun jarang mengucapkan salam. Salam kelihatan remeh, namun kelebihan dan ganjarannya cukup besar di sisi Tuhan. 

Salam bukan saja mengeratkan ukhuwah, namun lebih daripada itu, mendatangkan rasa kasih sayang dan hormat-menghormati. Bukan itu sahaja, barangsiapa yang memulakan salam di kalangan umat Islam maka Allah SWT akan memuliakannya. Sabda Rasulullah SAW: 

"Sesungguhnya seutama-utama manusia pada Allah ialah orang yang terlebih dahulu memberikan salam dalam kalangan mereka.” (HR Abu Daud). 

Tuntutan menyebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim sama ada orang yang kita kenal atau tidak. Meskipun tidaklah wajib, namun perbuatan baik ini sangatlah dianjurkan. Tidak hanya itu, mengucapkan salam ternyata merupakan bentuk doa dan alasan di balik tumbuhnya rasa cinta sesama Muslim. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: 

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling berkasih sayang. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.” (Sahih Muslim). 

Mengucakan salam dalam pandangan agama Islam adalah dianggap sebagai satu bentuk rasa cinta dan iman pada Allah SWT. Satu daripada perkara yang mendorong saling menyayangi orang lain ialah sentiasa menyebarkan ucapan "salam". 

Kebiasaan baik ini meskipun  terdengar sederhana namun ianya menimbulkan impak yang luar biasa. Selain menumbuhkan rasa persaudaraan, seseorang yang gemar mengucapkan salam akan dijanjikan jaminan syurga oleh Allah SWT sekaligus ia memberikan imej yang positif kepada agama Islam secara keseluruhannya. Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. (HR Muslim). 

Sumber: Portal ILUVISLAM (https://iluvislam.my/kelebihan-memberi-salam/)


Comments