SENTIASALAH MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN DAN BUKAN HANYA MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI KERANA IA ANTARA CIRI MUSLIM YANG TERBAIK


Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR Ibnu Hibban).

Hidup di dalam dunia ini sebagai hamba Allah SWT adalah lebih baik menjadi si pemberi manfaat daripada si penerima manfaat. Hal ini kerana sudah pasti si pemberi manfaat ini lebih disayangi oleh Allah SWT kerana dia telah menciptakan satu momen yang indah demi kesenangan orang lain. Sebagai umat Islam, kita digalakkan mengamalkan tolong-menolong antara satu sama lain. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

"Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu bertolong-tolong pada jalan yang membawa kepada dosa dan juga permusuhan."

Menjadi peribadi yang bermanfaat adalah satu ciri yang harus dimiliki oleh seorang Muslim. Seorang Muslim lebih diperintahkan untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan hanya mencari manfaat dari orang lain. Ini kerana memberi manfaat kepada orang lain adalah sebahagian dari ajaran Islam yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Selain itu, segala kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain, semua kebaikan itu akan kembali untuk kebaikan kita sendiri.

Dalam sehari ada 24 jam iaitu bersamaan 1,440 minit. Setiap Muslim perlu menggunakan setiap masa yang dianugerahkan itu untuk melakukan apa saja perkara yang memberi manfaat terutama menyediakan bekalan menuju akhirat. Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menjadi manusia yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi seorang yang lebih memberi manfaat kepada orang lain dari mengharapkan manfaat buat diri kita sendiri. Ini kerana Allah SWT sangat menyayangi orang yang berbuat baik sesama ummah dan dipermudahkan segala urusannya di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa yang membebaskan seorang Muslim dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari satu kesulitan pada hari akhirat.” (HR Muslim).

Sumber: Portal Berita Harian Singapura (27 April 2021).


 

Comments