TANDA KESEMPURNAAN IMAN - MEMPUNYAI PERASAAN KASIH SAYANG DAN SALING MENJAGA HUBUNGAN SESAMA MUKMIN

 

Daripada Anas RA berkata, Nabi SAW bersabda: 

"Tidak beriman (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". (Sahih Bukhari).

Di akhir zaman ini, ramai di kalangan umat manusia yang seakan sudah hilang sifat rasa kasih dan sayang terhadap sesama manusia lainnya. Jadi, amat beruntunglah pada para Muslim yang masih mempunyai perasaan kasih dan sayang yang menebal dalam diri kerana dia mengikut apa yang dianjurkan di dalam agama Islam bahawa setiap Muslim perlu sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim lainnya. Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mencintai saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama.

Selain daripada iman yang kuat, mengasihi sesama Muslim juga akan membuatkan hidup kita bertambah berkat selain memperolehi rezeki yang berlipat ganda kerana menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang)." (HR Bukhari).

Sebagai seorang Islam, menjadi tuntutan untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan kerana apa sahaja perbuatan dan perlakuan di dunia ini ada kaitannya dengan akhirat. Seorang yang membina persaudaraan kerana Allah SWT juga akan dipelihara hubungan kesatuan sesama manusia di akhirat. Hubungan persaudaraan sesama Muslim hakikatnya bukan hanya berlaku di dunia, ia juga berterusan hingga ke akhirat. Manusia yang memutuskan silaturahim bukan hanya berada terasing di dunia, malah berseorangan di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

"Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (QS Al – Hujurat: 10).

Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Oleh itu, hendaklah kita mengasihi sesama Muslim dalam usaha untuk menggapai redha Allah SWT. Kesempurnaan iman seseorang tidak hanya setakat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, bahkan menjaga hubungan sesama Mukmin juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman. 

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)


Comments