Sifat riak merupakan sebahagian daripada sifat-sifat mazmumah yang amat dibenci oleh Allah SWT. Riak bermaksud menampakkan atau memperlihatkan suatu amal kebaikan kepada sesama manusia atau dalam istilah lain melakukan ibadah dengan niat supaya dipuji manusia, dan tidak berniat beribadah semata-mata ikhlas kepada Allah SWT. Riak ialah tidak ikhlas menunaikan ibadat atau melakukan sesuatu dengan mengharapkan balasan yang setimpal. Melakukan ibadah, untuk mendapatkan perhatian atau lain - lain. Sebagai contoh seorang lelaki atau perempuan yang bersembahyang sambil mengharapkan agar ada orang yang memerhati dan memuji kerajinannya.
Riak merupakan salah satu daripada penyakit hati. Ia boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja jika tidak dikawal dengan iman. Sifat riak amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan amalan ibadat kita menjadi tidak bernilai di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:
“Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil.” Para sahabat bertanya: “Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah.” Nabi Muhammad SAW menjawab: “Itulah Riya’. ALLAH SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” (HR Ahmad).
Tahukah kita, di neraka Jahannam, ada sebuah lembah dinamakan ‘al-Hazan’. Ia disediakan oleh Allah SWT buat golongan pembaca al-Quran, namun bersikap riak. Penyakit hati seperti riak amat bahaya dan besar mudaratnya. Apabila wujud riak dalam diri, maka sia-sia amalan yang dilakukan kerana ia akan terhapus dengan sendirinya. Jelas kepada kita, orang yang beribadat juga tidak terlepas daripada hukuman jika amalan yang dilakukannya tidak ikhlas kerana Allah SWT serta timbul perasaan riak. Jadi, perbuatan riak ini amat berbahaya dan jika tidak ditangani dengan iman dan takwa boleh menyebabkan riak ini menjadi virus yang boleh menyebabkan amalan seseorang tidak diterima dan ditolak oleh ALLAH SWT bukan sahaja di dunia tetapi juga di hari akhirat
Sehubungan itu, bagi menghindari sifat riak, kita perlu berusaha untuk sentiasa takut dengan kemurkaan Allah SWT. Dengan itu, diri akan sentiasa berwaspada daripada melakukan perkara yang mengundang dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak. Tanamkan dalam diri, sesuatu perkara yang dilakukan kerana inginkan penghargaan manusia tidak memberi sebarang makna. Apa guna kita dilihat hebat dan disanjung manusia, tetapi di akhirat kelak kita akan mendapat seksaan yang dahsyat. Selain itu, berusahalah menghadirkan rasa keikhlasan dalam setiap amalan yang dilakukan. Tanda riak mula wujud dalam diri apabila seseorang berasa suka dipuji dan mahukan setiap amal kebaikan itu mendapat penghargaan. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT sangat menyintai hamba-Nya yang bertakwa, berbesar hati iaitu orang kaya dan suka bersedekah dan suka merahsiakan ibadatnya.” (HR Muslim).
Sumber: Harian Metro (7 November 2018)
Comments
Post a Comment