HATI-HATI DENGAN PROPAGANDA MENJELANG PRU-15!!! IDEOLOGI RADIKAL HIZBUT TAHRIR YANG MENOLAK SISTEM DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA BOLEH MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK DAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

 

Dunia kian tenat, akhir zaman semakin mendekat dan fitnah banyak semakin bertebaran di kalangan umat manusia pada ketika ini. Apatah lagi dengan kehadiran pelbagai platform media sosial membuatkan sesuatu fitnah itu semakin berleluasa tanpa hentinya walaupun penjelasan sebenar sudah diberikan. Hakikatnya, itulah gambaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang bermaksud:

“Akan muncul suatu zaman yang ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai-bagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut, dan banyak berlaku jenayah.” (HR Muslim).

Suka ataupun tidak, inilah realiti yang perlu dilalui oleh umat Islam akhir zaman. Zaman fitnah yang menghancurkan ukhuwah sesama Muslim hingga menyebabkan perperangan saudara, meruntuhkan institusi Islam dan memporak-perandakan ikatan perhubungan masyarakat. Apabila adat kesopanan, kesantunan dan ikatan persaudaraan umat Islam ini mulai longgar, maka identiti mereka pun turut berubah. Kalau dahulu segala unsur negatif dapat diketepikan dengan mudah dan setiap anggota masyarakat saling mempertahankan maruah antara satu sama lain, namun sekarang amat sukar untuk berbuat demikian. Pelbagai amalan negatif semakin menular dan merebak dalam kalangan umat Islam, terutamanya jenayah fitnah.

Hakikatnya, fitnah adalah suatu jenayah kerana ia suatu rekayasa daripada peristiwa yang tidak benar. Tujuannya pula adalah untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang. Dalam perkataan lain, fitnah merupakan suatu perbuatan sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang dan memalsukan kebaikannya sehingga mengundang persepsi buruk masyarakat terhadapnya. Tahukah kita bahawa Rasulullah SAW mengecam sekeras-kerasnya si pembawa fitnah? Dalam sebuah hadis, sabda Baginda SAW:

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (HR Ahmad).

Jenayah fitnah yang sedang membarah dalam kalangan umat Islam pada ketika ini bukanlah suatu gejala baru, malah ia sudah berlaku sejak berkurun lamanya. Malah, isteri Baginda Rasulullah SAW sendiri, Saidatina Aisyah R.A menjadi mangsa fitnah oleh kaum munafik dengan tuduhan melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Safwan bin Mu‘attal. Menabur fitnah adalah perbuatan yang buruk dan boleh menjejaskan maruah dan kredibiliti seseorang. Sesungguhnya fitnah yang dicela oleh syarak itu tidak hanya terbatas dengan lisan sahaja bahkan juga dengan perbuatan. 

Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri kita daripada perbuatan menabur fitnah. Ini kerana bahaya fitnah itu bukan sahaja menyebabkan kita mendapat dosa besar malah mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga Allah SWT. Daripada Huzaifah bin Yaman R.A, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

“Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (HR Bukhari).

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri pada sisa usia yang masih ada ini, agar kita dapat berusaha menjaga setiap tingkah laku dan tutur kata kita. Jangan jadi sebahagian daripada “ejen dajjal kecil”.

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).


Comments