ISU KEBEBASAN DAN HAK ASASI WANITA PERJUANGAN GOLONGAN LIBERAL BERDASARKAN 'WORLD-VIEW' SEKULAR DAN LIBERAL BARAT TERNYATA BERCANGGAH DENGAN AKIDAH ISLAM DAN MENYERLAHKAN KEJAHILAN MEREKA

 

Perjuangan tentang isu feminisme atau kebebasan dan hak asasi wanita oleh golongan liberal sebenarnya menerima pakai sepenuhnya pendekatan sekularisme dan liberalisme Barat dari segi kandungan dan kaedah perjuangan untuk mencapai matlamat mereka. Golongan ini yang rata-ratanya daripada golongan wanita bekerjaya, mendapat didikan daripada sistem pendidikan liberal Barat dan terdedah dengan sumber kajian barat khususnya tentang isu feminisme. 

Di negara kita, kumpulan ‘Sisters in Islam’ adalah antara kumpulan liberal yang begitu lantang memperjuangkan isi feminisme ini. Mereka telah menggunakan pengaruhnya (parti politik dan kerjaya profesional) untuk mengadaptasi idea feminisme ala ‘Women Liberation’ Barat untuk diperjuangkan dan terapkan kepada masyarakat sebagai syariat Islam walaupun sebenarnya bercanggah dengan syariat malah akidah Islam.

Golongan ini berpendapat pandangan sejagat (world-view) sesuai diaplikasikan kepada semua budaya dan masyarakat dunia. Malangnya mereka tidak sedar atau memang jahil tentang Islam kerana terpengaruh dengan fahaman sekular dan liberal Barat bahawa apa yang mereka perjuangkan tentang isu feminisme tersebut adalah fahaman sekularisme dan liberalisme Barat yang sangat bercanggah dengan ajaran Islam.

Oleh itu, tidak hairanlah jika kita lihat kumpulan liberal yang berjuang dalam isu feminisme ini cuba mensasarkan dunia Arab dan umat Islam yang terdedah kepada budaya patriarki iaitu budaya yang menjadikan lelaki sebagai pemegang tampuk kekuasaan sedangkan wanita dibiarkan tertindas dan tidak diberi peluang untuk meningkatkan diri.

Bertitik tolak kepada asas 'world view' feminisme Barat ini, golongan liberal ini kemudiannya menilai sejarah dan sosiologi Melayu-Islam mengikut kacamata ‘world-view’ Barat. Mereka menyatakan kononnya memang ada penindasan terhadap wanita, walaupun sosiologi kekeluargaan Melayu-Islam berbeza daripada realiti Barat dan Timur Tengah. Bagi mereka, pendekatan pendidikan yang meletakkan anak perempuan di rumah dianggap sebagai satu penindasan. Mereka juga menyatakan amalan budaya patriarki cenderung untuk meminggirkan status wanita kepada insan yang tidak bekerjaya dan hanya layak berada di rumah semata-mata.

Jika diteliti ‘world-view’ Melayu dan perkaitannya dengan pendidikan anak perempuan, ternyata sekali dakwaan yang dikemukakan oleh golongan feminis liberal ini adalah satu kesilapan. Sosiologi pendidikan keluarga Melayu terhadap anak perempuan adalah bertujuan untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa penindasan orang luar. Perkara yang lebih penting, sosiologi pendidikan keluarga Melayu lebih mengutamakan ajaran Islam sebagai asas pembentukan akhlak dan emosi anak-anak. Hal ini berlaku akibat daripada pemahaman masyarakat Melayu tentang ‘world-view’ Islam sejati. Ia kemudiannya turut diterapkan sepenuhnya dalam kehidupan bermasyarakat.
 
Kesimpulannya, tidak salah untuk mengikut budaya mana-mana bangsa, namun janganlah diambil dan dicampur adukkan fahaman liberal itu dalam Islam kerana akibatnya akan menyesatkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam itu sendiri.

Sumber: The Malaysian Journal of Social Administration, 9 (1): 107-128


Comments