JADILAH SEBAIK-BAIK MUSLIM YANG MEMILIKI HATI YANG BERSIH


Menjadi seorang manusia yang memiliki sifat, perlakuan dan hati yang bersih adalah menjadi idaman setiap Muslim. Namun, apabila didatangkan dugaan, kita menjadi lemah dan sering tersasar dari tujuan. Ramai di antara kita mengaku diri sebagai orang Islam atau Muslim, sebab umum ialah kerana kita dilahirkan sebagai seorang Islam? Sebenarnya tidak cukup seseorang itu mengaku sebagai seorang Islam tanpa memahami erti sebenar sebagai Muslim. Sebagai seorang Muslim, kita dituntut beragama secara sempurna kerana kesempurnaan dalam agama dapat memudahkan kita mencari jalan menuju keredhaan Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT:


“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?” (QS al – Fussilat: 33).


Antara ciri-ciri seorang Muslim itu memiliki hati yang bersih adalah tidak mencintai dunia secara berlebihan sehingga lupakan akhirat serta tidak tertipu dengan nikmat kelebihan yang ada pada diri. Ini sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib:


 "Dunia itu akan pergi menjauh. Sedangkan akhirat akan mendekat. Dunia dan akhirat tersebut memiliki anak. Jadilah anak akhirat dan janganlah kalian menjadi anak dunia. Hari ini (di dunia) adalah hari beramal dan bukanlah hari perhitungan (hisab), sedangkan esok (di akhirat) adalah hari perhitungan (hisab) dan bukan hari beramal." (HR Bukhari).


Selain itu, seorang Muslim yang mempunyai hati yang bersih adalah dari kalangan mereka yang sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam menjauhi kemaksiatan. Ini kerana seorang Muslim yang mempunyai hati yang bersih, mereka sangat takut untuk melakukan kemaksiatan apabila mereka mengingati bahawa Allah SWT itu sentiasa mengawasi mereka tidak kira siang ataupun malam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-'Ankabuut, ayat 69 yang bermaksud:


"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik."


Seorang Mukmin sejati akan selalu mengajak kepada kebaikan, beribadah, dan berbuat perkara yang positif bagi diri sendiri dan mereka yang berada di sekelilingnya. Selain tutur kata, perlakuan dan akhlaknya yang baik dan selalu mengajak pada agama Allah SWT, Muslim sejati bertindak dengan kebaikan dan tidak pernah berbuat amalan yang bertentangan dengan syarak. Dia selalu beramal soleh di mana pun dia berada. Dari aspek lain, Muslim sejati yang mempunyai hati yang bersih juga adalah mereka yang tabah dalam menghadapi cabaran hidup, tidak pernah mengeluh, malah menjadi antara hamba Allah SWT yang sangat bersyukur atas segala nikmat, mahu pun dugaan yang dikurniakan kepadanya. Hatinya suci bersih daripada segala dosa dan maksiat, hidupnya semata-mata untuk Allah SWT dan sentiasa mencari keredaanNya.


Maka dari itu, marilah kita menjadi sebaik-baik Muslim yang memiliki hati yang bersih. Berusahalah untuk menjadi yang baik dan berakhlak. Akidah dan doa saja tidak cukup untuk mengubah seseorang menjadi baik selagi ia tidak disusuli dengan usaha yang kuat. Oleh itu, berusaha melawan hawa nafsu sangat perlu kerana titik mulanya adalah di situ.


Sumber: Berita Harian (3 Disember 2015)

Comments